JOHOR BAHRU: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bertekad untuk mengukuhkan perpaduan dan kesatuan UMNO Johor.
Beliau yang dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor menggantikan Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad mengakui amanah itu adalah tanggungjawab yang sangat berat.
“Keutamaan saya ialah untuk memastikan perpaduan dan kesatuan UMNO Johor tetap
terpelihara. Bukan sesekali untuk menguatkan mana-mana kelompok dan kumpulan, tetapi memulih, merawat dan membangunkan semula kekuatan UMNO.
“Adat berpolitik, pasti ada badai dan geloranya. Terimalah ia sebagai pasang surut dalam
perjuangan dan Insya-Allah akan ada hikmah terpenting daripada segalanya itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berterima kasih atas kepercayaan diberikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan turut menghargai sumbangan besar Hasni terhadap UMNO Johor.
“Peralihan kepimpinan ini dilakukan untuk saya meneruskan kerja-kerja baik yang telah beliau laksanakan, Insya-Allah.
“Saya menyeru semua pemimpin UMNO Johor bertaut kembali dan bermuafakat demi
kelangsungan parti. Insya-Allah, saya tidak akan menyisih dan meminggirkan sesiapa jua.
“Semua bagi saya adalah sahabat dan keluarga besar UMNO Johor yang akan dirai dan dihargai,” katanya. – UTUSAN