KPKT teliti ancaman binatang liar sebelum laksana projek baharu - Utusan Malaysia

KPKT teliti ancaman binatang liar sebelum laksana projek baharu

AKMAL NASRULLAH MOHD. NASIR (tengah) mengagihkan limau sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Pasar Pagi Taman Pelangi, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memberi lebih tumpuan terhadap aspek ancaman binatang liar dalam pelaksanaan projek pembangunan perumahan baharu pada masa depan.

Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, ini kerana terdapat peningkatan laporan tentang kehadiran binatang liar seperti gajah di kawasan perumahan, khususnya di luar bandar dan pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam perkara tersebut.

“Banyak juga yang dibangkitkan akhir-akhir ini melibatkan binatang liar yang masuk ke kawasan perumahan. Jadi kita perlu bekerjasama dengan Perhilitan untuk mengelakkan musibah lebih besar atau kecederaan sama ada di pihak penduduk mahupun binatang liar itu.

“Jadi, di peringkat KPKT, isu ini sudah pasti akan dinilai dan pihak pemaju atau PBT (pihak berkuasa tempatan) perlu memastikan agar ketetapan dibuat dipenuhi, selain itu pemantauan berterusan juga perlu diteruskan,” katanya selepas mengedarkan buah limau kepada orang awam sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Pasar Pagi Taman Pelangi, di sini hari ini.

Baru-baru ini, tular beberapa rakaman video dalam media sosial memaparkan kehadiran binatang liar seperti gajah di kawasan kediaman penduduk di beberapa negeri, antaranya di Johor, Pahang dan Kelantan.

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah memaklumkan, pihaknya sedang meneliti data dan statistik lebih terperinci yang telah dikumpulkan berkaitan projek perumahan yang tergendala, sakit atau terbengkalai.

“Dalam tempoh sebulan pertama ini, saya telah kumpulkan data-data tentang projek bermasalah dan KPKT sedang berusaha sehabis baik untuk melakukan intervensi bagi projek-projek tersebut.

“Walau bagaimanapun, perkara ini mungkin mengambil sedikit masa kerana terdapat banyak projek sakit yang bukan sahaja melibatkan projek kerajaan, malah pemaju swasta,” katanya.

Disember lalu, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dilaporkan berkata, kementeriannya akan mewujudkan pasukan petugas khas bagi menyelesaikan masalah 381 projek perumahan swasta yang dikategorikan sebagai ‘sakit’. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya