KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merampas sebanyak 6,120 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi selepas menyerbu sebuah rumah di Jelawat, Bachok, dekat sini semalam.
Serbuan pukul 6.30 petang itu dilakukan menerusi Op Membanteras Ketirisan Barang Kawalan bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Tok Bali Pasir Putih.
Pengarahnya Azman Ismail berkata, hasil pemeriksaan di rumah berkenaan membawa kepada penemuan 6,120 (kg) minyak masa masak peket bersubsidi yang dipercayai mahu diseludup ke negara jiran.
Menurutnya, siasatan awal mendapati rumah tersebut dijadikan sebagai transit sebelum membawa barangan kawalan itu ke sempadan bagi tujuan penyeludupan.
“Siasatan lanjut terhadap pemilik barangan itu dan rumah sedang dilakukan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Kita (KPDN Kelantan) memberi amaran kepada mana-mana individu atau mana-mana pihak termasuk peniaga supaya tidak terlibat dalam aktiviti ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Azman memberitahu, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau pihak termasuk peniaga yang melakukan kesalahan ini.
Katanya, kesemua nilai rampasan itu dianggarkan berjumlah RM15,300.-UTUSAN