Kes amang seksual PU Azman mula bicara Julai depan

Kes amang seksual PU Azman mula bicara Julai depan

PU Azman ditemani peguamnya, Mohamad Zahid pada prosiding sebutan semula kes amang seksual di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Mahkamah Sesyen Seremban hari ini menetapkan 24 hingga 28 Julai depan sebagai tarikh perbicaraan penceramah selebriti, Pencetus Ummah (PU) Azman atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun lalu.

Hakim, Datin Surita Budin menetapkan tarikh perbicaran selama lima hari itu pada prosiding sebutan semula kes hari ini selepas pihak peguam memohon tarikh awal berikutan tertuduh juga akan didakwa di mahkamah di Klang, Shah Alam dan Ampang.

Surita berkata, seramai 12 saksi berkemungkinan akan dipanggil pihak pendakwaan bagi memberi keterangan termasuk doktor, ibu bapa, mangsa dan pegawai penyiasat.

Terdahulu, peguam Mohamad Zahid Ahmad yang mewakili PU Azman atau nama sebenarnya Azman Syah Alias, 42, memaklumkan sepatutnya pihak pembelaan mengemukakan representasi pada prosiding tersebut tetapi ia tidak dapat diserahkan.

“Representasi tidak dapat dikemukakan hari ini kerana kami membuat keputusan untuk menunggu dokumen kes di mahkamah lain yang membabitkan empat mangsa dan pengadu yang sama.

“Kami akan lihat sama ada kes di Seremban ada kaitan atau tidak dengan kes di mahkamah lain,” katanya pada prosiding sebutan semula kes di sini hari ini.

Menurut Mohamad Zahid, keseluruhan kes amang seksual PU Azman melibatkan 12 pertuduhan dan empat pengadu serta kemungkinan pihaknya akan menghantar alibi.

Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi dan mahkamah turut menetapkan 25 Mei depan untuk keputusan representasi sebelum perbicaraan bermula.

Sebelum itu, PU Azman yang dikenali dengan panggilan Cik Man kelihatan tenang ketika tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 9 pagi dengan ditemani peguamnya. 

Ketika ditanya tentang dirinya yang kini kelihatan aktif semula di media sosial Instagram, PU Azman berkata, ramai yang menghantar soalan peribadi dan agama kepadanya. 

“Alhamdulillah, setakat ini saya tidak ada masalah untuk menjawab soalan-soalan itu dan kadang-kala ada yang tanya soalan berulang. Alhamdulillah saya sekarang sihat, doakan,” katanya.

Pada 12 Oktober tahun lalu, PU Azman didakwa atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun lalu. 

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa remaja lelaki berusia 16 dan 17 tahun dengan cara melakukan perbuatan kelucahan melampau. 

Kesalahan itu dilakukan di tandas dan ruang tamu sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai, di sini pada 6 Julai tahun lalu. 

Selain itu. PU Azman turut berdepan tujuh lagi pertuduhan berhubung kesalahan jenayah seksual yang didakwa dilakukannya terhadap dua kanak-kanak dan seorang remaja di Mahkamah Shah Alam, Klang dan Ampang.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya