PASIR PUTEH: Polis Kelantan mengakui jumlah kenderaan masuk ke negeri ini dilihat mulai bertambah sejak Rabu lalu menjelang sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal diraikan pada Ahad ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pertambahan itu dapat dilihat melalui tiga pintu masuk utama iaitu Jeli, Gua Musang dan Bukit Yong (Pasir Puteh).
Menurutnya, jumlah kemasukan kenderaan dijangka akan terus bertambah antara 10 hingga 15 peratus sempena perayaan kaum tionghoa itu.
“Sehubungan itu, polis akan memberi tumpuan di lokasi panas termasuk di kawasan Jeli dan kawasan rehat dan rawat (R&R) Gua Musang yang sesak terutamanya pada musim cuti perayaan.
“Setakat ini, sebanyak 54 lokasi rehat dikenal pasti menjadi tempat persinggahan perantau. Jadi, kita harap tempat rehat seperti ini mempunyai pengurusan yang lebih sistematik bagi mengelakkan kesesakan selain memberi keselesaan kepada pengguna,” katanya selepas melancarkan Op Selamat 19/2023 di hadapan Balai Polis Bukit Yong di sini hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, pihaknya turut menempatkan seramai lebih 300 anggota dan pegawai di kawasan tumpuan.
Katanya, sepanjang Op Selamat tahun lalu, sebanyak 363 kes kemalangan dilaporkan dengan 14 kematian dan beliau berharap jumlah kes nahas menurun pada tahun ini.-UTUSAN