KUALA KRAI: Seorang kerani maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas sebelum bertembung sebuah treler di Jalan Staponal-Batu Jong di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, mangsa, Lai Chen Meng,41, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas cedera parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamed berkata, siasatan awal mendapati, sebuah treler jenis Volvo dipandu seorang lelaki berusia 36 tahun sedang dalam perjalanan dari sebuah kilang di sini menuju ke Pelabuhan Klang, Selangor.
Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa yang datang dari arah bertentangan dipercayai masuk ke laluan bertentangan.
“Insiden itu menyebabkan motosikal Chen Meng bertembung dengan treler tersebut. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas cedera parah pada bahagian kepala.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultan Ismail Petra di sini untuk dibedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Suzaimi memberitahu, siasatan lanjut mendapati, nahas berpunca daripada kegagalan mangsa mengawal motosikal ditunggangnya sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah treler.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.-UTUSAN