Kerajaan NS galak orang ramai kembali pakai pelitup muka - Utusan Malaysia

Kerajaan NS galak orang ramai kembali pakai pelitup muka

AMINUDDIN Harun ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Negeri Sembilan Command Center (NeSCOM) di Jalan Pekeliling, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menggalakkan orang ramai untuk kembali memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga mengekang penularan Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun bagaimanapun berkata, sekiranya jumlah jangkitan dilihat semakin meningkat di negeri ini, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat keperluan untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka dalam kalangan rakyat.

“Jika kes (jangkitan) mendadak meningkat, kerajaan negeri akan berbincang semula dengan Jawatankuasa Bencana Negeri Sembilan untuk diaktifkan keperluan, sebagai contoh diwajibkan mengenakan pelitup muka di jabatan-jabatan ataupun masjid serta apa-apa tindakan perlu supaya dapat dikawal lebih awal.

“Bagaimanapun, keadaan ketika ini terkawal dan jumlah kes jangkitan juga masih rendah, cuma saya menggalakkan penduduk Negeri Sembilan untuk pakai semula pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Negeri Sembilan Command Center (NeSCOM) di sini hari ini.

Semalam, kerajaan negeri Melaka dilaporkan tidak teragak-agak untuk melaksanakan semula undang-undang pemakaian pelitup muka sekiranya berlaku kenaikan kes Covid-19 di negeri tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, orang ramai dinasihatkan memakai pelitup muka terutamanya ketika berada di tempat-tempat tertutup dan tumpuan ramai susulan bilangan kes jangkitan yang semakin bertambah di seluruh dunia.

Sementara itu, Aminuddin berkata, sebagai langkah berjaga-jaga juga, kerajaan negeri akan mewajibkan pemakaian pelitup muka pada majlis Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sembilan sempena Hari Keputeraan Ke-75,  Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada 14 Januari ini yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.

“Saya ada bertemu Tuanku Muhriz pagi tadi dan baginda mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya menggalakkan masyarakat menggunakan pelitup muka dalam program-program. (Kerajaan negeri) juga akan mewajibkan pemakaian pelitup muka ketika hari keputeraan baginda di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya