KOTA BHARU: Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) menjadikan sambutan Tahun Baharu Cina 2023 lebih meraih apabila meraikan wartawan kaum Cina di negeri ini sekaligus mengukuhkan perpaduan dalam kalangan mereka.
Presidennya Majidah Ismail berkata, majlis yang berlangsung itu merupakan sambutan paling meriah dianjurkan Kemudi bagi meraikan rakan-rakan media selepas berdepan Covid-19 sejak tiga tahun lalu.
“Walaupun kumpulan mereka agak kecil, namun itu bukan halangan. Melalui sambutan ini, Kemudi mahu mempromosikan lagi semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum yang ada di negara ini.
“Semangat ini penting bagi memastikan rukun damai yang dikecapi akan terus dipelihara untuk generasi akan datang,” katanya selepas meraikan wartawan kaum Cina di Hotel Perdana Kota Bharu, di sini, hari ini.
Sementara itu, Ang Wui Chong memberitahu, sambutan kali ini lebih meriah apabila dapat makan besar dan berjumpa sanak-saudara selepas tidak boleh berbuat demikian semasa Covid-19 lalu menyerang negara dua tahun lalu.
“Apa pun tahun ini ramai yang pulang ke kampung termasuk adik saya dari Kuala Lumpur sekaligus menjadikan Tahun Baharu Cina lebih meriah,
“Walaubagaimanapun kami masih menjaga prosedur operasi standard (SOP) dan berharap Covid-19 akan terus berkurangan, ” ujarnya.-UTUSAN