Kempunan curi bas sekolah

Kempunan curi bas sekolah

SEBUAH bas sekolah terbabas di Lebuh AMJ berhampiran Taman Malinja, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Hasrat seorang lelaki untuk mencuri sebuah bas sekolah tidak kesampaian selepas kenderaan yang dilarikannya itu terbabas ke dalam longkang di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Taman Malinja di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.10 petang itu, suasana di kawasan tersebut bertukar gamat apabila berlaku pergelutan antara orang awam dengan suspek sebelum lelaki berusia 30-an itu berjaya ditangkap dan diserahkan kepada polis.

Anak kepada pemilik bas yang dicuri, Zaidi Basri, 42, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian oleh bapa saudaranya yang melihat kenderaan tersebut dilarikan suspek dari tempat parkir di sebuah stesen minyak.

“Saya dapat panggilan pukul 5.15 petang yang memaklumkan bas sekolah kepunyaan bapa, Basri Jafar, 68, telah dilarikan seorang lelaki dan telah terbabas di Lebuh AMJ.

“Saya bergegas ke lokasi dan sebaik tiba saya lihat suspek telah berjaya ditangkap oleh orang ramai dan dikatakan cuba melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Tambah Zaidi, kemalangan itu telah menyebabkan bas tersebut mengalami kerosakan cermin hadapan dan tangki minyak.

Jelasnya, bas yang telah berusia 20 tahun itu kebiasaannya diparkir di stesen minyak berkenaan dan masih digunakan untuk program-program lawatan sekolah.

“Mujurlah bas ini terbabas ke longkang di kiri jalan dan hanya merempuh papan tanda, sekiranya ia melanggar pengguna jalan raya di lampu isyarat berhampiran, keadaan mungkin akan menjadi lebih buruk,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya