Kementerian Perpaduan Negara promosi konsep masyarakat madani - Utusan Malaysia

Kementerian Perpaduan Negara promosi konsep masyarakat madani

AARON Ago Dagang (berdiri depan tengah) bergambar bersama kakitangan Jabatan Perpaduan negeri dan kanak-kanak Tabika Perpaduan selepas Majlis Amanat Tahun 2023 Bersama Menteri Perpaduan Negara Peringkat Negeri Sembilan di Seremban hari ini.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kementerian Perpaduan Negara akan mendukung usaha mempromosikan konsep masyarakat madani yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pendekatan itu akan membolehkan negara mencapai matlamat menjadi masyarakat ideal sejajar dengan negara maju.

Beliau berkata, antara ciri-ciri masyarakat madani ialah orang ramai hidup aman damai, menghormati antara satu sama lain, berbudi bahasa, sopan dan bebas menyatakan pendirian dengan wajar.

“Konsep masyarakat madani ini turut dibangkitkan dalam sesi pemukiman kabinet baru-baru ini. Sejajar dengan itu, kami akan berusaha menjayakan pendekatan ini secara meluas dan menyeluruh,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Amanat Tahun 2023 Bersama Menteri Perpaduan Negara Peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Noridah Abdul Rahim dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perpaduan, Penerangan dan Integrasi Nasional negeri, Choo Ken Hwa. 

Aaron memberitahu, langkah pertama yang akan dilakukan oleh kementeriannya bagi menjayakan konsep tersebut ialah menganjurkan program besar-besaran bagi menarik orang ramai.

Melalui program itu, jelas beliau, pihaknya akan dapat memberikan kefahaman dan kesedaran kepada masyarakat umum mengenai faedah daripada masyarakat madani.

“Kami akan menjelajah ke seluruh negara bermula dari Sarawak dengan disertai oleh semua kementerian berkaitan seperti kesihatan, pendidikan, belia dan sukan serta agensi kerajaan.

“Dalam beberapa minggu akan datang, kami berharap slogan masyarakat madani ini akan menjadi sebutan dalam kalangan orang ramai,” ujarnya.

Tambahnya, orang ramai boleh mendapat kefahaman lebih jelas mengenai konsep masyarakat madani melalui buku Membangun Negara Madani yang ditulis sendiri oleh Anwar beberapa tahun yang lalu.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya