Kementerian Pendidikan kawal, pantau harga makanan di kantin

Kementerian Pendidikan kawal, pantau harga makanan di kantin sekolah 

Lakukan ujian 3M untuk kesan murid tercicir menguasai kemahiran asas.- MINGGUAN /PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kementerian Pendidikan sentiasa mengawal dan memantau harga makanan di kantin sekolah, seluruh negara.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, tindakan tersebut bagi memastikan pengusaha kantin sekolah mematuhi garis panduan harga makanan yang ditetapkan kementeriannya.

Sehubungan itu, menurutnya, pengusaha kantin sekolah perlu merujuk garis panduan yang ditetapkan berhubung kenaikan harga makanan di premis itu.

“Sekolah dan kontraktor (pengusaha kantin) tertakluk dengan garis panduan tersebut, jadi, kalau ada dakwaan itu (kenaikan harga makanan), mereka kena pergi kepada garis panduan yang dibuat.

“Pemegang taruh untuk isu harga makanan ini besar, bukan saja dengan kontraktor kantin dan pihak sekolah, tapi juga KPM, sebab nutrisi dan diet kanak-kanak kena tengok,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke sekolah yang terkesan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Rusa, di sini, hari ini. 

Akhbar ini sebelum ini melaporkan kebanyakan harga makanan di kantin sekolah naik sehingga 50 peratus apabila bermulanya sesi persekolahan baharu pada awal Januari ini.

Presiden Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah, Khairuddin Hamzah, berkata peningkatan harga itu bagi menampung kos operasi yang semakin meningkat, selain beberapa bahan asas yang menyaksikan peningkatan mendadak.

Fadhlina memberitahu, pihaknya juga sedang mengumpul aduan bagi siasatan berhubung kenaikan harga makanan kantin sekolah sejak sesi pembukaan sekolah baru-baru ini.

“Kalau ada aduan yang disifatkan sebagai mengganggu, sama ada memberi kesan kepada kontraktor kantin dan paling penting kepada kanak-kanak dan ibu bapa, kita minta kemukakan (aduan),” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata,  jumlah kerugian secara keseluruhan bagi sekolah-sekolah yang terjejas akibat banjir di seluruh negara masih belum diperoleh kementeriannya.

Bagaimanapun menurutnya,  peruntukan awal sudah disalurkan kepada sekolah yang teruk dan kritikal.

“Tahap kerosakan setiap sekolah di setiap negeri adalah berbeza, justeru, peruntukan untuk proses penyelenggaraan juga adalah tidak sama.

“Untuk SK Pulau Rusa ini misalnya, KPM memperuntukkan sebanyak RM150,000 untuk proses penyelenggaraan agar pelajar dapat belajar dengan selamat dan ceria,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya