KUALA LUMPUR: Mengejutkan dan dikejutkan.
Itulah nasib berbeza menimpa Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing dan Pearly Tan-M. Thinaah pada pusingan pertama Terbuka Malaysia di Axiata Arena, dekat sini, semalam.
Beregu campuran negara, Pang Ron-Mei Xing yang tidak diletakkan harapan melangkah jauh pada kejohanan berstatus Super 1,000 itu membuktikan kehadiran mereka tidak boleh dipandang sepi selepas mengejutkan pasangan No. 16 dunia dari Jepun, Kyohei Yamashita-Naru Shinoya 21-11, 15-21, 21-19.
Sementara itu, Pearly-Thinaah yang menghuni ranking No. 6 dunia dikejutkan oleh pasangan adik beradik yang berada di kedudukan ke-14 dunia, Gabriela-Stefani Stoeva dari Bulgaria 19-21, 14-21.
Pang Ron-Mei Xing yang baharu diganding bersama pada tahun lalu dan kini menghuni ranking ke-157 dunia ketika ditemui pemberita mengakui mereka berasa sangat gementar beraksi menentang gandingan Jepun tersebut.
Mei Xing berkata, mujurlah mereka mendapat sokongan padu penyokong yang tidak henti-henti memberikan dorongan untuk mencipta kejutan ke atas lawan dari Jepun itu.
“Saya cuma mampu fokus kepada permainan, memang saya sangat gementar. Beraksi dalam perlawanan ini, kami tidak letak harapan tinggi, kami cuma mahu seronok bermain dan beri tumpuan kepada diri sendiri,” katanya.
Pang Ron pula memberitahu, mereka berdua mengambil masa untuk mendapatkan momentum, lebih-lebih lagi apabila tewas dalam set kedua gara-gara tidak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan angin dalam gelanggang.
Ketika ditanya pula mengenai jurulatih baharu mereka iaitu Nova Widianto yang merupakan bekas jaguh beregu campuran Indonesia, Pang Ron menjelaskan, dia dan Mei Xing memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan cara jurulatih itu bekerja.
“Dia seorang yang ‘straight forward’, perubahan itu memang ada terutama dari segi corak dan strategi permainan,” ujarnya.
Sementara itu, Pearly ketika ditemui berkata, perlawanan, semalam, tidak berpihak kepada mereka berdua dan lawan beraksi lebih baik dari segi kawalan bulu tangkis serta gelanggang.
“Kami perlu lupakan kekalahan ini, tiada apa yang tidak kena dengan kami, cuma permainan kami hari ini (semalam) serba tidak menjadi,” katanya.
Untuk satu lagi aksi beregu campuran membabitkan wakil Malaysia, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai tidak berdepan masalah menyingkirkan pasangan Taiwan, Chang Ko-Chi-Lee Chih Chen menerusi kemenangan straight set 21-15, 21-13.
Dalam saingan beregu lelaki pula, pasangan No. 7 dunia, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dipaksa bekerja keras sebelum menundukkan gandingan ke-27 dunia dari China, Ren Xiang Yu-Tan Qiang 21-13, 20-22, 21-15. – UTUSAN