JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di negeri ini semakin berkurangan menjadi 3,480 orang daripada 960 keluarga yang masih ditempatkan di 35 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 8 pagi ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani memaklumkan, daerah yang masih terjejas akibat banjir ialah Segamat, Mersing, Kluang, Kota Tinggi, Muar, Batu Pahat dan Tangkak.
“Mersing kekal sebagai daerah paling terjejas dengan seramai 1,818 penduduk yang ditempatkan di 12 buah PPS dibuka di daerah berkenaan.
“Ini diikuti dengan daerah Kluang dengan seramai 735 mangsa, Kluang (735), Kota Tinggi (417), Batu Pahat (380), Segamat (115) dan Tangkak (15),” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Antara PPS yang dibuka termasuk PPS Dewan Kampung Baru Sungai Mas, Balai Raya Kampung Perpat, Dewan Pusat Banjir Jakoa, Dewan Serbaguna Pekan Air Panas, Dewan Komuniti Tasek dan Kompleks Taman Negara Endau Rompin.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia masih meletakkan beberapa daerah di negeri ini di bawah amaran hujan berterusan tahap waspada, iaitu Mersing, Kota Tinggi, Segamat, Kluang, Kulai dan Johor Bahru.
Tiga jalan masih ditutup sepenuhnya untuk pengguna iaitu Jalan Tanah Abang, Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau dan Jalan Felda Medoi. – UTUSAN