SEREMBAN: Sebanyak 309 kesalahan telah dikesan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan sepanjang tempoh Penguatkuasan Sempena Tahun Baharu Cina 2023 melalui penyamaran bergambar.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, penyamaran bergambar juga telah dilaksanakan bagi menambahkan lagi keberkesanan penguatkuasaan secara menyeluruh yang bermula 18 Januari lalu hingga hari ini.
“Sebanyak 309 kesalahan telah dikesan sepanjang tempoh penguatkuasaan melibatkan 153 notis saman kesalahan gagal mematuhi lampu isyarat merah, memotong barisan (128) dan tidak memakai topi keledar (28).
“Notis temusiasat di bawah Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dihantar kepada pemilik berdaftar kenderaan tersebut untuk mendapatkan maklumat pemandu yang melakukan kesalahan pada masa tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hanif Yusabra berkata, pegawai JPJ yang menyamar dengan berpakaian preman akan ditugaskan di lokasi-lokasi kerap pengguna jalan raya melakukan kesalahan lalu lintas untuk merakam gambar kesalahan bagi tindakan lanjut.
“Penguatkuasaan secara penyamaran bergambar ini akan meningkatkan lagi Perception Of Being Caught (POBC) kepada semua pemandu untuk lebih berhemah ketika memandu dan mematuhi peraturan ditetapkan.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan sentiasa peka dan patuh kepada peraturan lalulintas bagi mengelak daripada dikenakan tindakan penguatkuasaan,” katanya.-UTUSAN.