TUMPAT: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan menerima peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta sebagai persiapan bagi menghadapi gelombang banjir pada musim Monsun Timur Laut (MTL) akan datang.
Pengarahnya, Said Sidup berkata, peruntukan itu akan digunakan untuk pembelian pelbagai barangan keperluan kepada mangsa banjir termasuk penyediaan makanan.
“MTL belum lagi berakhir sehingga Mac ini. Jadi, kita sudah mengambil langkah awal dengan menyediakan segala persiapan termasuk tilam, tikar, makanan seperti sardin dan lain-lain barangan keperluan termasuk kelengkapan mandian.
“Langka itu bagi mengelak bekalan keperluan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) terputus,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Bantuan Pasca Banjir Sempena Kembali Ke Sekolah Bersama Yayasan Sime Darby di Sekolah Menengah Ugama (SMU) (Arab) Nurul Huda di sini hari ini.
Said memberitahu, pihaknya akan membuat permohonan tambahan peruntukan pada masa akan datang bergantung kepada situasi semasa.
Katanya, permohonan peruntukan tambahan dilakukan pada tahun lalu apabila perbelanjaan daripada RM1 juta meningkat kepada RM5 juta.
“Selain itu, mangsa banjir tahun lepas meningkat dua kali ganda iaitu melibatkan 44,731 mangsa berbanding tahun sebelumnya hanya lebih 20,000 mangsa.
“Semua bekalan barangan keperluan yang disediakan habis digunakan kerana jumlah mangsa meningkat,” ujarnya.