PETALING JAYA: Tidak pernah berputus asa dan berserah kepada takdir Allah SWT.
Itu antara pendorong semangat bagi bapa Nor Azimah Ibrahim, 38, dalam mencari anaknya yang hilang di Madinah ketika mengikuti jemaah umrah di Arab Saudi pada 19 Disember 2015.
Ibrahim Abdul Rahman, 61, berkata, apa yang dilaluinya hampir setahun kehilangan anaknya itu amat memeritkan sebelum Aziman ditemukan semula pada 13 Disember 2016 dalam tahanan imigresen Arab Saudi sebelum dibawa pulang ke tanah air pada 4 Januari 2017.
Menurutnya, pengalaman itu wajar menjadi iktibar kepada keluarga Musthafa Kamal Abdullah, 49, apabila jemaah umrah dari Johor tersebut hilang di Mekah sejak 22 Disember lalu dan belum ditemukan sehingga kini.
“Saya ada di sana kira-kira sebulan untuk mencari Azimah, tetapi buntu kerana tidak tahu lagi di mana mahu mencarinya, jadi kami serahkan semuanya kepada pihak polis di sana.
“Kami yakin dia masih hidup, tetapi dalam masa sama hanya berserah semuanya kepada takdir Allah SWT, kami anggap ia ujian bagi insanNya yang lemah. Kami sering berhubung dan mendapatkan perkembangan terbaharu dari Kedutaan Malaysia di Arab Saudi dalam menjejak kehilangan Azimah,” katanya dihubungi Utusan Malaysia.
KEMURUNGAN
Ditanya tentang anaknya sekarang, Ibrahim berkata, Azimah yang menghidapi masalah kemurungan masih tidak berkongsi apa-apa ketika dia hilang selama setahun di Madinah.
“Kami pun tidak bertanya kerana saya rasa ia bukan masa yang sesuai memandangkan dia masih mendapatkan rawatan di hospital atas masalah kemurungan yang dihadapi,” katanya.
Dalam pada itu, Ibrahim juga menasihatkan mereka yang senasib dengannya supaya berusaha sebaik mungkin dalam mencari ahli keluarga yang hilang dan bersangka baik dengan Allah SWT dalam menghadapi dugaan yang diberi.
“Tiada siapa yang minta mahu hadapi ujian ini, tetapi apa yang saya boleh cakap bersabarlah dan terima dengan hati yang terbuka kerana saya yakin ada sebab dan barakah di sebalik apa yang berlaku.
“Banyakkan beristighfar supaya Allah SWT bantu, kerana semua orang pasti inginkan yang terbaik dalam mencari jawapan, jadi letakkan usaha yang sehabis mungkin dalam mendapatkan jawapan kepada penyelesaian kita itu,” jelasnya.- UTUSAN