Jalan utama ke Mersing ditutup, pengguna dinasihat guna laluan alternatif - Utusan Malaysia

Jalan utama ke Mersing ditutup, pengguna dinasihat guna laluan alternatif

LALUAN di Kilometer 60, Jalan Kota Tinggi-Mersing ditutup bagi kenderaan ringan selepas dinaiki banjir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Pengguna dari arah Kota Tinggi ke Mersing dinasihati menggunakan laluan alternatif apabila Kilometer 60, Jalan Kota Tinggi-Mersing ditutup hari ini.

Laluan berkenaan yang terletak berhampiran kuari Panti itu hanya ditutup untuk kenderaan ringan bermula pukul 12 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintenden Hussin Zamora berkata, orang ramai disarankan melalui jalan alternatif, iaitu Jalan Tenggaroh jika mahu ke Mersing. 

“Setakat ini hanya satu sahaja jalan utama yang ditutup untuk kenderaan ringan dan hanya kenderaan berat serta pacuan empat roda dibenarkan.

“Jalan itu dinaiki air dengan jarak 40 meter. Jadi, orang ramai diminta menggunakan Jalan Kluang sebagai alternatif,” katanya ketika ditemui hari ini.

Selain itu, laluan lain yang ditutup untuk kenderaan ringan adalah di Mawai Lama, Jalan Tanjung Sedili (Kampung Gembut), Jalan Johor Bahru-Endau (Ladang Risda) dan Jalan Lok Heng-Sungai Mas (Sungai Semalok).

Hussin berkata, banjir di daerah ini masih dalam keadaan terkawal meskipun jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka bertambah bagi menempatkan mangsa.

Beliau memaklumkan ada menerima laporan berkaitan pekerja ladang yang terputus bekalan makanan hari ini di Ladang Ibzi, Punggai, Bayu Damai namun bantuan telah pun dihantar. 

Susulan bencana banjir, pihaknya akan mengadakan mesyuarat penyelarasan bersama-sama pelbagai agensi, termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Tentera Darat, pihak berkuasa tempatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta Kementerian Kesihatan pada hari ini.

“Kita mahu semua agensi dapat diselaraskan tugasnya dan bersepadu. Jadi, tiada pertindihan kuasa dan mesyuarat berkenaan juga untuk menjalinkan kerjasama lebih erat antara semua agensi terlibat.

“Kita juga mahu menasihati orang ramai agar berhati-hati sebelum meninggalkan rumah tutup elektrik terlebih dahulu, bawa dokumen penting bersama. Kita bimbang dan tidak mahu kejadian renjatan elektrik yang berlaku di Kelantan berulang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya