JERANTUT: Jalan utama daerah ini, iaitu Jalan Benta ke Jerantut di laluan FT64A ditutup kepada semua jenis kenderaan berat dalam tempoh hampir empat bulan berikutan terdapat kerosakan pada pembetung dan struktur jalan.
Jurucakap Jabatan Kerja Raya (JKR) Jerantut berkata, laluan FT64A iaitu Jalan Persekutuan berdekatan Pejabat Felcra Jaya Putra dalam kawasan Damak di sini hanya boleh dilalui kenderaan di bawah satu tan sahaja.
“Berikutan kerosakan tersebut, laluan itu ditutup kepada kenderaan berat bermula 24 Januari hingga 23 April ini kerana kerja membaikpulih pembetung dan kerosakan jalan akan dilakukan dalam tempoh tersebut.
“Berikutan penutupan laluan tersebut, kenderaan berat boleh menggunakan laluan alternatif FT234, Jalan Sungai Jan, Jerantut – Kuala Lipis di laluan FT234, dan Jalan Kerambit – Limau Purut – Mela, manakala notis makluman dan pelan laluan alternatif sedang dikemaskini dan akan dihebahkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam perkembangan yang sama, jurucakap JKR Jerantut juga berkata, Jalan Kota Gelanggi ke Felda Lepar Utara juga akan ditutup kepada kenderaan berat dan cuma satu laluan dibuka untuk kenderaan bawah satu tan di sebelah lorong Laluan FT1524 ekoran terdapat kerosakan pada pembentung dan struktur jalan.
“Kerosakan jalan ini berlaku berdekatan simpang masuk ke Felda Lepar Utara 9, 11 dan 12 dan ditutup untuk kerja membaikpulih mulai 24 Januari sehingga 5 Februari ini.
“Laluan sementara akan dibuka sebagai alternatif untuk kenderaan berat bawah satu berulang alik dari ketiga buah Felda tersebut dan kawasan berdekatan,” katanya.
Katanya, penutupan sebelah laluan jalan untuk menjamin keselamatan pengguna jalan raya sambil berharap pengguna jalan raya mematuhi papan tanda dan arahan yang telah disediakan atau sebarang pertanyaan boleh menghubungi JKR Jerantut menerusi talian 092663040.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Mazlan Hassan mengesahkan kerosakan di dua buah laluan tersebut dan berharap pengguna jalan raya berhari-hati dan berwaspada khususnya kenderaan ringan di bawah satu tan yang melalui kawasan tersebut.
“Pemandu kenderaan bawah satu tan juga diminta berhati-hati ketika pemanduan pada waktu malam kerana cuma satu laluan alternatif sahaja dibuka lebih lagi keadaan cuaca yang tidak menentu.
“Anggota polis juga akan kerap membuat pemantauan di kedua laluan tersebut, manakala pihak berkenaan perlu memasang papan tanda lebih awal di kedua penghujung masuk ke laluan tersebut bagi mengelakkan kenderaan dikhuatiri terbabas ke kawasan hutan dan cerun di samping kemalangan lain,” ujarnya. – UTUSAN