BERA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap Bajet 2023 yang diluluskan kerajaan terdahulu pada Oktober tahun lalu diteruskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim demi kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, projek dan cadangan yang dibentangkan dalam Bajet 2023 itu perlu diteruskan atau ditambah baik apabila dibentangkan semula di Dewan Rakyat pada 24 Februari ini.
Menurutnya, Bajet 2023 lalu yang terbesar dalam sejarah negara memberi tumpuan kepada meningkatkan taraf hidup di luar bandar dan menangani isu membabitkan perumahan.
“Saya berharap projek yang diluluskan untuk kesejahteraan masyarakat luar bandar akan diteruskan termasuk inisiatif ‘Satu Keluarga Satu Rumah’ yang sebelum ini diperkenalkan untuk membantu rakyat Malaysia mendapatkan kediaman.
“Ini kerana isu perumahan merupakan cabaran utama untuk diteliti dan diberi keutamaan oleh kerajaan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bera ketika ditemui selepas merasmikan Pusat Kawalan Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di sini hari ini.
Ismail Sabri mengulas kenyataan Anwar pada 17 Januari lalu bahawa Bajet 2023 yang akan dibentangkan semula di Dewan Rakyat pada 24 Februari ini tidak akan terikat dengan bajet yang dibentangkan kerajaan terdahulu pada 7 Oktober tahun lalu.
Sambil menyifatkan ia sebagai bajet baharu, Perdana Menteri dilaporkan sebagai berkata, cadangan yang dibuat dalam bajet sebelum ini akan diambil kira dalam Bajet 2023 yang disemak semula.
Sementara itu, Ismail Sabri merakamkan penghargaan kepada kerajaan baharu di bawah kepimpinan Anwar kerana meneruskan inisiatif diperkenalkan kerajaan Keluarga Malaysia termasuk pembayaran bantuan awal persekolahan dan bantuan tunai rakyat.
“Bantuan tunai Keluarga Malaysia yang saya umumkan sebelum ini akan dibayar tidak lama lagi. Hanya namanya sahaja yang ditukar…ia kini dikenali Sumbangan Tunai Rahmah.
“Tidak mengapa dan pertukaran nama (untuk bantuan itu) tidak menjadi isu kerana keutamaan sentiasa memastikan bantuan kewangan untuk rakyat diteruskan. Saya berharap perancangan dalam bajet sebelum ini dengan fokus kepada kesejahteraan rakyat. akan diteruskan,” katanya. – UTUSAN