Industri ternakan negara rugi lebih RM3.9 juta akibat banjir

Industri ternakan negara rugi lebih RM3.9 juta akibat banjir

DR. Suratan Kamarudin (dua dari kanan) menyerahkan bantuan makanan haiwan kesayangan kepada penerima selepas Program Penyerahan Bantuan Makanan Haiwan Kesayangan Pasca Banjir di Ibu Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kota Bharu, Kelantan hari ini. UTUSAN/ROSMIZAN RESDI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Industri penternakan negara merekodkan kerugian lebih RM3.9 juta akibat banjir yang melanda pada Disember lalu melibatkan seramai 440 penternak.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Dr. Suratan Kamarudin berkata, kerugian itu melibatkan kematian ternakan, kerosakan kandang, kerosakan homplot (tanaman rumput), dan kerosakan peralatan serta mesin ladang.

Menurutnya, bagaimanapun jumlah tersebut berdasarkan laporan awal dan setakat ini JPV masih lagi menunggu maklumat dari masa ke semasa.

“JPV akan terus memantau dan membuat penilaian secara berterusan bagi tujuan menyalurkan bantuan kepada pihak yang terjejas di dalam industri ternakan.

“Bantuan kerajaan pada dasarnya bukan sahaja ditumpukan kepada penternak semata-mata, malah turut melibatkan pemberian bantuan kepada pemilik-pemilik haiwan kesayangan,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Penyerahan Bantuan Makanan Haiwan Kesayangan Pasca Banjir di Ibu Pejabat JPV Kelantan di sini hari ini.

Dr. Suratan memberitahu, sebagai jabatan yang bertanggungjawab kepada industri ternakan, pihaknya komited membantu pihak-pihak yang terjejas.

Katanya, pada tahun 2021, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM1.6 juta bagi membantu seramai 287 orang penternak yang terjejas ekoran bencana alam di seluruh negara.

“Tahun lalu, lebih RM6.7 juta peruntukan telah digunakan bagi membantu seramai 552 orang penternak yang terjejas bertujuan bagi meringankan beban mereka,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Dr. Suratan berkata, JPV juga bertanggungjawab untuk memberi perkhidmatan nasihat kepada penternak, pemilik haiwan dan industri berkaitan penjagaan kesihatan, rawatan dan pencegahan penyakit.

“Bagi pasca banjir kali ini, JPV menyediakan perkhidmatan yang sama untuk membolehkan pihak-pihak yang terjejas dapat mendapatkan nasihat berhubung penjagaan ternakan dan haiwan selepas berlakunya bencana.

“Kita juga ingin menasihatkan penternak dan pemilik untuk memindahkan haiwan peliharaan lebih awal ke kawasan yang lebih selamat  terutama bagi ternakan yang dijalankan secara skala besar seperti lembu, kambing, ayam dan itik bagi mengelak terkepung semasa banjir,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya