Hukuman terhadap Hishammuddin cacat - UMNO Sembrong - Utusan Malaysia

Hukuman terhadap Hishammuddin cacat – UMNO Sembrong

ABDUL GHANI ABD. RASHID (tengah) ketika ditemui media selepas mempengerusikan mesyuarat khas UMNO Bahagian Sembrong di Rumah UMNO Bahagian Sembrong di Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: UMNO Bahagian Sembrong menyifatkan hukuman penggantungan keahlian terhadap Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai cacat kerana dilakukan tanpa proses yang sewajarnya. 

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Abdul Ghani Abd. Rashid berkata, tindakan itu dilakukan tidak seperti sewajarnya kerana tiada surat tunjuk sebab dan pendengaran oleh Lembaga Disiplin parti sebelum hukuman dibuat.

Menurutnya, tindakan itu juga dilakukan seolah-olah tidak mengambil kira jasa, pengorbanan dan kesetiaan Hishammuddin kepada parti selepas lebih 20 tahun membina UMNO Bahagian Sembrong. 

“Untuk itu, Jawatankuasa UMNO Bahagian Sembrong menuntut Majlis Kerja Tertinggi dan Lembaga Disiplin parti memberikan penjelasan dan sebab atas penggantungan bekas Ketua UMNO Bahagian Sembrong ini. 

“Hanya kerana berbeza pandangan, namun hakikatnya menjurus kepada tujuan yang sama, iaitu untuk membina semula parti keramat orang Melayu ini, beliau dihukum dengan hukuman yang dianggap terlalu berat,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas UMNO Bahagian Sembrong di Rumah UMNO Bahagian Sembrong, dekat sini hari ini. 

Dalam pada itu, Abdul Ghani berkata, barisan kepimpinan UMNO Bahagian Sembrong tetap akur dengan nasihat Hishammuddin supaya seluruh ahli parti di bahagian berkenaan kekal setia dan terus berpegang dengan prinsip bahawa kepentingan parti mengatasi kepentingan individu. 

Pihaknya akan memberikan penerangan tentang isu penggantungan tersebut kepada ahli parti bagi mengelakkan perpecahan, khususnya di peringkat akar umbi.

“Segala gerak kerja parti juga akan diteruskan termasuk melaksanakan sepenuhnya urusan pemilihan selaras dengan arahan oleh kepimpinan pusat. 

“Walaupun ada suara-suara kecewa dengan tindakan ini daripada ahli peringkat akar umbi, namun kepimpinan bahagian percaya mereka tetap setia dengan nasihat yang diberikan oleh Hishammuddin,” katanya. 

Kelmarin UMNO membuat keputusan memecat bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, manakala Hishammuddin, Datuk Maulizan Bujang, Datuk Seri Mohd. Salim Sharif dan Shahril Sufian Hamdan digantung keahlian parti selama enam tahun.

Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad pula digugurkan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor dan digantikan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Naib Presiden UMNO. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya