KOTA BHARU: Harga sayur-sayuran yang naik sebanyak 50 peratus sepanjang musim banjir Disember lalu kembali turun dan berada pada paras normal hari ini.
Seorang peniaga sayur, Norul Zulkilfi, 37, berkata, penurunan itu melibatkan sayur jenis sawi, kobis, daun salad dan banyak lagi.
Menurutnya, sebelum ini, satu kilogram (kg) sawi yang dijual pada harga RM10 dan sudah kembali ke harga asal antara RM4 hingga RM5 bagi berat sama.
“Bagaimanapun, untuk sambutan Tahun Baharu Cina, saya tidak dapat meramalkan sama ada akan berlaku kenaikan atau sebaliknya.
“Semua ini bergantung kepada harga yang dibekalkan kepada kami oleh pihak pemborong,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di Pasar Siti Khadijah mendapati harga ayam masih dijual dengan harga RM9 hingga RM9.40 satu kg.
Seorang peniaga ayam, Aida Wahab, 45, berkata, setakat ini dia masih menjual harga ayam mengikut kawalan yang ditetapkan oleh kerajaan.
Katanya, dia menjangkakan harga ayam mungkin tidak dinaikkan, walaupun ada kalangan pelanggan mendakwa harga pasaran bahan mentah itu ketika ini agak mahal sedikit.
“Namun, setakat ini, jualan ayam digerai saya masih lagi laris,” ujarnya. –UTUSAN