KOTA TINGGI: Remaja yang masih hilang selepas mandi bersama rakannya di Pantai Batu Layar, di sini semalam dipercayai cuba menyelamatkan rakannya sebelum turut sama lemas.
Bapa mangsa, Hanizam Hashim, 47, berkata, anaknya Hani Suefyan, 16, berkunjung ke pantai itu bersama-sama lima rakan yang lain.
Dia mendapat maklumat berkenaan kejadian itu kira-kira pukul 4 petang semalam ketika sedang berada di Muadzam Shah, Pahang untuk bekerja.
“Sejurus dapat tahu, saya terus bergegas pulang dan kami terus ke pantai ini sampai kira-kira pukul 8 malam. Saya memang tunggu di sini, mana tahu anak saya ‘balik’ sementara yang lain menumpang di rumah saudara di Felda Air Tawar 1.
“Saya dimaklumkan oleh pengunjung di sini yang melihat kejadian itu, katanya anak saya mandi bersama lima rakan lain. Salah seorang telah naik ke darat kerana alami kekejangan. Tidak lama kemudian mereka melihat anak kami cuba menyelamatkan rakannya, Mohamad Imran Mohamad Nazir, 17 yang lemas sebelum dia turut ditarik ombak laut lalu hilang,” katanya ketika ditemui di Pantai Batu Layar, di sini hari ini.
Hani Suefyan merupakan anak sulung daripada tiga beradik itu tahu berenang, namun tidak terlalu mahir.
Kali terakhir dia berjumpa anaknya itu pada minggu lepas sebelum dia pergi bekerja di Pahang.
“Saya merupakan pengurus ladang hanya balik hujung minggu. Jadi, memang jarang jumpa, kali terakhir jumpa dia pada minggu lepas masa itu dia seperti biasa sahaja tak ada tunjuk apa-apa perubahan. Saya dimaklumkan isteri, dia meminta izin untuk ke Mawai namun tak tahu pula boleh sampai ke pantai ini,” katanya.
Media melaporkan seorang remaja ditemukan lemas, manakala seorang lagi masih hilang dan dikhuatiri lemas ketika mandi-manda di Pantai Batu Layar, pada pukul 1 26 petang semalam.
Difahamkan, kedua-dua mangsa datang dari Kluang berkonvoi menaiki motosikal untuk meluangkan masa sempena cuti Tahun Baharu Cina bersama empat rakan lain. – UTUSAN