PETALING JAYA: Pemain e-sukan profesional negara, Mohd. Haikal Noh naik ke ranking nombor satu dunia sukan Divisyen 1 eFootball 2023, semalam.
Haikal, 24, memegang posisi itu dengan pengumpulan 1,540 mata sejak eFootball menetapkan semula kedudukan ranking pemainnya untuk bulan ini, minggu lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemuda berasal dari Kota Tinggi itu berkata, pencapaian luar biasa itu membakar semangatnya untuk mempamer aksi terbaik dalam kelayakan Kejohanan eFootball Dunia 2023 yang akan bermula 30 Januari ini.
Ujar pemain yang bernaung di bawah skuad JDT GBX Esports itu, dia memperuntukkan sekurang-kurangnya tiga ke empat jam sehari (berlatih dan bermain) bagi mengumpul mata, serta mengekalkan kedudukannya.
“Untuk dapatkan ranking, saya kena lawan dan dapatkan mata. Saya main setiap hari sebab kalau kalah, 30 mata ditolak. Kalau menang, cuma dapat lima mata. Memang susah sebenarnya, sebab tu kena konsisten,” katanya.
Pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2022 itu berkata, dia mula terlibat dalam pertandingan di kampung, sebelum diperkenalkan dengan kejohanan di bandar sehinggalah serius menjadi pemain sepenuh masa.
“Habis SPM dulu, saya sertai pertandingan di kampung, masa itu ada kejohanan mini. Saya menang dan dari situ rakan-rakan kenalkan saya dengan kejohanan di bandar.
Bermula dari situlah saya bertemu dengan pemain yang lebih hebat.” – UTUSAN