Guru SRA JAIM kecewa, kontrak tidak disambung lebih setahun

Guru SRA JAIM kecewa, kontrak tidak disambung lebih setahun

KONTRAK perkhidmatan guru SRA JAIM tidak disambung SPA sejak 31 Disember 2021. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Mohd. Noor Helmy Abdul Halem membangkitkan isu kontrak pelantikan guru Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang tidak disambung Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sejak 31 Disember 2021.

Beliau berkata, meskipun setakat ini tiada seorang pun yang dibuang kerja dan masih menerima gaji seperti biasa, namun perkara itu telah mendatangkan kesukaran contohnya untuk mendapatkan pinjaman perumahan dan sebagainya.

Katanya, beliau difahamkan, SPA tidak mengeluarkan surat penyambungan kerana terdapat beberapa perkara yang tidak mematuhi syarat ditetapkan suruhanjaya berkenaan.

“Walaupun guru-guru tidak disambung kontrak, tetapi mereka masih dibayar gaji mengikut kadar gaji terakhir mereka. Tiada seorang pun yang dibuang kerja dan tiada isu guru yang tidak mendapat gaji.

“Bagaimanapun, kesukaran kerja tanpa kontrak didapati berlaku seperti halangan pinjaman perumahan yang mana masalah itu tidak dapat dielakkan selagi kontrak kerja tidak dibuat,” katanya dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebooknya.

Mohd. Noor Helmy turut memuat naik surat aduan para guru SRA yang kecewa berikutan kontrak perkhidmatan mereka tidak diperbaharui sehingga kini.

MOHD. NOOR HELMY ABDUL HALEM

Apa yang dikesalkan adalah hak dalam perkhidmatan turut dinafikan seperti membuat pinjaman bank, tiada kenaikan gaji dan mendapat ganjaran kontrak, bonus serta lain-lain keistimewaan.

Selain itu, mereka juga tidak mendapat kenaikan gred jawatan yang sesuai meskipun telah mempunyai diploma dan ijazah pendidikan, seiring dengan kemahuan Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka dan JAIM.

Dalam pada itu, mengenai tindakan yang sudah diambil JAIM, Mohd. Noor Helmy memaklumkan, kertas kerja cadangan berhubung perkhidmatan, kemudahan dan kebajikan untuk golongan pendidik itu sedang dibuat dan akan dibawa ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN)

Menurutnya, JAIM tidak memaklumkan perkara itu kepada guru terlibat kerana cadangan tersebut masih di peringkat kertas kerja dan akan berbuat demikian selepas diluluskan MMKN.

“Kemungkinan pelantikan semula dengan kerajaan negeri (kontrak khas) juga sedang dikaji. Kerajaan negeri tidak boleh sewenang-wenangnya mengubah skim perjawatan dan gaji yang telah dibuat SPA.

“Melaka tidak mampu daripada segi kewangan untuk membuat pelantikan guru SRA melalui kerajaan negeri. Ini yang membezakan Melaka dengan sesetengah negeri lain,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya