SEREMBAN: Polis kini sedang mengesan seorang lelaki berusia 24 tahun bagi membantu siasatan kes berhubung gangguan oleh ah long di daerah ini.
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan menerusi hebahan di media sosial memohon individu yang mengenali lelaki tersebut, Muhamad Mustakim Shaharuddin dengan alamat terakhir di Jalan Sungai Jai, Beranang, Selangor untuk tampil menyalurkan maklumat.
Menurut kenyataan lagi, Muhammad Mustakim dikehendaki berhubung kes yang disiasat di bawah Seksyen 29B (1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.
“Alamat kedua individu berkenaan adalah di Taman Irama, Jelebu. Sehubungan itu orang ramai yang mengenali individu ini di harap dapat tampil ke mana-mana balai polis berdekatan.
“Selain itu, boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Fikri Mokhtar di talian 06-761 2222 atau 016-483 0584,” kata kenyataan itu.-UTUSAN.