Dua warga Myanmar maut, MPV rempuh lori berhenti tepi jalan

Dua warga Myanmar maut, MPV rempuh lori berhenti tepi jalan

KEADAAN MPV yang dinaiki empat warga Myanmar yang merempuh belakang sebuah lori di Kilometer 16, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis berhampiran Lepan Tupai, Gua Musang, Kelantan hari ini.UTUSAN/IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Dua warga Myanmar maut manakala dua lagi parah selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka merempuh sebuah lori tiga tan yang berhenti rehat di bahu jalan di Kilometer 16, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis berhampiran Lepan Tupai di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, mangsa, Monir Ahmad Goni Ahmad, 47, yang duduk di tempat duduk penumpang depan dan penumpang belakang dan merupakan seorang wanita, Umar Habibah meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pemandu MPV jenis Chery Easter itu, Mohammad Alam Nor Alam, 19, dan seorang lagi penumpang, Bibi Aishah, cedera pada bahagian kepala dan patah kaki kanan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika dua lelaki dan dua wanita itu menaiki sebuah MPV sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu.

“Semasa tiba di lokasi kejadian, kenderaan yang dinaiki kesemua mangsa yang merupakan penjual sayur-sayuran itu dipercayai melanggar belakang sebuah lori yang sedang berhenti di bahu jalan.

“Insiden itu menyebabkan MPV yang dinaiki mereka berpusing di atas jalan sebelum kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Choon Foo memberitahu, mayat mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang di sini untuk dibedah siasat manakala dua lagi mangsa yang cedera turut menerima rawatan di hospital sama.

Katanya, bagaimanapun, pemandu lori jenis Isuzu berusia 27 tahun bersama kelindannya berusia 17 tahun yang dipercayai sedang berehat di dalam kenderaan tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.

Choon Foo berkata, orang ramai terutamanya pemandu kenderaan berat dinasihatkan agar tidak sewenang-wenang meletakkan kenderaan di bahu jalan tanpa tanda amaran atau kedudukan yang mungkin menyebabkan bahaya atau halangan kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya