Dua wanita rugi lebih RM380,000 terpedaya panggilan palsu - Utusan Malaysia

Dua wanita rugi lebih RM380,000 terpedaya panggilan palsu

RAMLI MOHAMED YOOSUF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Gara-gara takut dengan tuduhan mencurigakan oleh sindiket Macau Scam, dua wanita berputih mata apabila mengalami kerugian lebih RM380,000 dalam dua kejadian berasingan di Maran dan Temerloh.

Ketua Polis negeri, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kes pertama penipuan sindiket tersebut membabitkan seorang Penolong Pegawai Pertanian berusia 45 tahun di Maran.

“Wanita terbabit menerima panggilan telefon dari suspek memperkenalkan diri sebagai pegawai insurans dan mengatakan bahawa mangsa ada membuat tiga tuntutan palsu, pada November tahun lalu.

“Mangsa diminta membuat laporan polis dan talian disambungkan kepada individu memperkenalkan diri sebagai pegawai polis. Mangsa turut dikatakan terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan kesalahan rasuah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, suspek turut menawarkan untuk membayar dana ikat jamin RM400,000 untuk menyelesaikan kes dihadapi mangsa.

“Dengan perasaan takut, mangsa mendedahkan kesemua maklumat akaun perbankan miliknya sebelum mendapati wang simpanannya RM215,100 lesap. Pemeriksaan dengan pihak bank mendapati wang simpanannya itu dipindahkan ke akaun bank lain melalui 33 kali transaksi,” katanya.

Dalam satu lagi kejadian, Ramli berkata, seorang mangsa berusia 37 tahun dari Temerloh menerima panggilan telefon daripada suspek menyamar sebagai syarikat kurier pada 13 Januari lalu.

Jelasnya, suspek mendakwa mangsa ada menerima barangan terlarang seperti kad sim, kad Mesin Pengeluaran Automatik (ATM), buku cek token bank dan pendrive yang dihantar kepada penerima dikenali Tan Boon Hua.

“Suspek kemudiannya menyambungkan panggilan kepada individu menyamar sebagai pegawai polis yang mendakwa maklumat peribadi pengadu diguna oleh individu lain untuk membuka akaun bank.

“Kononnya individu berkenaan memberitahu kepada pihak polis bahawa mangsa memberi kebenaran menggunakan akaun bank miliknya untuk pengubahan wang haram.

“Suspek kemudiannya memberikan pautan kepada mangsa untuk mengisi maklumat perbankan selain diminta memindahkan semua wang dari simpanan Tabung Haji ke akaun bank yang dibuka atas arahan suspek,” katanya.

Beliau berkata, pada Selasa lalu, mangsa memeriksa wang simpanannya dan baki menunjukkan terdapat pengurangan RM165,090.

Tambah beliau, lebih memeranjatkan mangsa hasil pemeriksaan lanjutnya mendapti terdapat lapan kali transaksi dibuat melalui akaunnya.

“Orang ramai yang menerima panggilan meragukan perlu segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan. Jika diminta untuk memberikan apa-apa maklumat perbankan, jangan dedahkan sebarang maklumat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya