Dua pemancing hilang ditemukan selamat di Teluk Juara, Tioman - Utusan Malaysia

Dua pemancing hilang ditemukan selamat di Teluk Juara, Tioman

KEADAAN dua pemancing yang kelihatan lemah setelah tiga hari hanyut di laut sebelum ditemukan oleh orang awam di Teluk Juara, Pulau Tioman di Rompin, Pahang. - FOTO IHSAN MARITIM MALAYSIA PAHANG.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Dua pemancing yang dikhuatiri hilang di Pulau Tioman, Rompin dekat sini sejak Isnin lalu, ditemukan selamat kira-kira pukul 2.30 petang hari ini.

Mangsa, Chia Swee Kwong, 49, dan Zulfahmi Izzudin Gan Abdullah, 45, berada dalam keadaan lemah ketika ditemukan orang awam di Teluk Juara, Pulau Tioman.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, kedua-dua mangsa yang juga pemilik resort di situ keluar memancing menaiki bot fiber dari Teluk Juara.

“Pada mulanya, usaha menjejaki mereka buntu selepas telefon bimbit dua pemancing itu gagal dihubungi memandangkan pada kebiasaannya akan pulang pada hari sama.

“Setelah mendapat pengesahan bahawa kedua-dua lelaki berkenaan yang ditemukan adalah mangsa yang dicari, mereka terus dibawa ke Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman bagi rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kamal Ariffin berkata, hasil siasatan awal, mangsa memaklumkan bot mereka kehabisan minyak dan dipukul ombak menyebabkan ia karam.

Jelasnya, kedua-dua mangsa dipercayai terselamat kerana memakai jaket keselamatan dan berenang menuju ke daratan berdekatan.

“Susulan itu, Maritim Malaysia mengingatkan orang ramai dan penduduk sekitar supaya berhati-hati dan berwaspada apabila berada di laut.

“Sila patuhi segala undang-undang dan sentiasa memakai jaket keselamatan memandangkan musim tengkujuh belum berakhir dangan laut bergelora serta angin kuat,” katanya.

Sebarang maklumat berkaitan kejadian kecemasan dan kegiatan jenayah di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 095717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya