KUALA SELANGOR: Tindakan dua nelayan tempatan menggaji tiga warga asing untuk menangkap ikan mengundang padah apabila dicekup pihak berkuasa kira-kira 4.3 batu nautika perairan Kuala Selangor di sini, malam tadi.
Empat lelaki berusia 32 hingga 36 tahun yang menaiki sebuah bot kelas C itu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pukul 10.30 malam.
Pengarah Mairitm Malaysia Selangor, Kapten Maritim V. Siva Kumar berkata, penahanan itu dilakukan ketika pihaknya melakukan rondaan bot dalam Op Ehsan di sekitar perairan berkenaan.
Kata beliau, pemeriksaan dijalankan selepas mendapati bot nelayan tempatan itu dilihat mencurigakan dan sedang menangkap ikan.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot dikendalikan dua lelaki tempatan itu membawa tiga warga asing yang tiada dokumen pengenalan diri sah.
“Selain itu, mereka melakukan kesalahan melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Siva Kumar, bot dan semua lelaki itu dibawa ke Jeti Polis Marin Pulau Indah bagi tindakan lanjut.
“Kes nelayan terbabit disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63. Maritim Malaysia memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan di laut dan akan terus melakukan rondaan di perairan,” ujarnya. – UTUSAN