JOHOR BAHRU: Dua lelaki yang mengganggu dua wanita sedang menunggang motosikal dalam rakaman video tular dalam media sosial baru-baru ini berjaya ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, rakaman video berkenaan dipercayai dirakam pada pukul 9.42 malam, 11 Januari lalu.
Menurutnya, siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku di Jalan Skudai-Pantai Lido, menghala ke arah Johor Bahru, di sini.
“Dalam video berkenaan, sebuah motosikal jenis Yamaha Y16Z ditunggang seorang lelaki bersama seorang pembonceng yang tidak memakai topi keledar didapati telah mengganggu dua individu wanita yang sedang menunggang motosikal lain.
“Perbuatan kedua-dua lelaki berkenaan telah menimbulkan perasaan takut dan trauma kepada kedua-dua wanita berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Walau bagaimanapun, kejadian tersebut tidak melibatkan sebarang kecederaan fizikal kepada semua pihak yang terlibat.
“Penunggang dan pembonceng motosikal lelaki berkenaan yang berusia dalam lingkungan 20-an kemudiannya berjaya dikesan dan telah dipanggil untuk ke balai polis trafik untuk tindakan selanjutnya.
“Tindakan saman telah dikeluarkan terhadap kedua-dua individu tersebut atas kesalahan menunggang motosikal tanpa lesen memandu sah dan tidak memakai topi keledar ketika membonceng motosikal.
“Kedua-dua suspek juga telah dirujuk ke Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan untuk siasatan lanjut, namun tiada perbuatan jenayah dikesan,” katanya.
Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 29 saat yang menunjukkan dua lelaki menunggang sebuah motosikal mengganggu dua wanita yang menunggang sebuah motosikal lain.
Raub turut meminta masyarakat supaya membantu menyalurkan maklumat yang dimiliki berkaitan sebarang kejadian salah laku dalam usaha membanteras kegiatan jenayah di bandar raya ini. – UTUSAN