Dasar pelaksanaan rangkaian 5G dibentangkan sebelum penghujung suku pertama tahun ini

Dasar pelaksanaan rangkaian 5G dibentangkan sebelum penghujung suku pertama tahun ini

FAHMI Fadzil (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada kakitangan Jabatan Penyiaran Kelantan yang terjejas banjir di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Dasar pelaksanaan rangkaian 5G yang dikendalikan oleh Digital Nasional Berhad (DNB) akan dibentangkan kepada kabinet oleh Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sebelum penghujung suku pertama tahun ini.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, setakat ini pihaknya telah bertemu dengan semua syarikat pengendali telekomunikasi, Kementerian Kewangan termasuk DNB mengenai hala tuju tersebut.

“Kita telah mendapat maklum balas daripada semua pihak. Pada waktu ini KKD serta Kementerian Kewangan sedang meneliti apakah pilihan dan kesan sekiranya kita membuat sebarang pilihan.

“Saya jangkakan sebelum sampai penghujung suku pertama tahun ini kita akan dapat bentangkan kepada jemaah menteri. Dari situ saya percaya pihak kerajaan akan umumkan dasar berhubung pelaksanaan rangkaian 5G,” katanya pada sidang akhbar selepas Sesi Perjumpaan Menteri bersama Warga KKD negeri di Jabatan Penyiaran Kelantan di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan DNB mengumumkan pelaksanaan rangkaian 5G Malaysia telah mencecah hampir 50 peratus liputan di kawasan berpenduduk (COPA) dengan sekitar 3,900 tapak setakat akhir 2022, sekali gus melepasi sasaran awal sebanyak 40 peratus.

Dalam pada itu, Fahmi memberitahu, KKD dalam proses untuk menubuhkan Pusat Kawalan Komunikasi bagi mengatasi masalah rangkaian internet di beberapa kawasan yang terjejas.

Katanya, beliau berharap proses berkenaan dapat dilakukan secepat mungkin bagi menyediakan rangkaian internet kepada mana-mana komuniti bagi memacu pertumbuhan ekonomi digital.

“Kelmarin, saya ada sesi mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Baginda ada sampaikan titah mengenai masalah internet yang dihadapi oleh komuniti di Kuala Boh, Cameron Highlands, Pahang.

“Jadi, saya telah minta Timbalan KKD, Teo Nie Ching untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mewujudkan serta mengenalpasti lebih awal kawasan yang mempunyai masalah rangkaian internet,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya