KOTA BHARU: Seorang buruh warganegara Myanmar maut selepas terjatuh dari motosikalnya sebelum digilis sebuah kren ketika cuba memotong kenderaan berat itu di Jalan Kuala Krai-Kota Bharu dekat Kadok di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, mangsa, Mohamad Rofik Abdul Sabor, 28, yang menunggang motosikal jenis Sym VF3i meninggal dunia di lokasi kejadian selepas cedera parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikal dari arah Masjid Kadok ke sebuah stesen minyak melalui Jalan Kuala Krai.
Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, Mohamad Rofik dipercayai cuba memotong sebuah kren jenis Nissan KW30M dipandu seorang lelaki berusia 53 tahun yang sedang bergerak perlahan di laluan sama.
“Mangsa dikatakan memotong melalui bahu kiri jalan sebelum terjatuh kerana permukaan jalan rosak dan licin.
“Insiden itu menyebabkan mangsa digilis pada bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Rosdi memberitahu, mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini untuk dibedah siasat.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-UTUSAN