PETALING JAYA: Kerjasama antara Malaysia dan Indonesia dalam pelbagai bidang perlu diperkukuhkan jika mahu meningkatkan ekonomi rantau ini ekoran kesan tempias kelemahan mata wang asing khususnya Dolar Amerika Syarikat (AS) kepada kedua-dua negara..
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, belum tiba masanya untuk mata wang Ringgit dan Rupiah disatukan.
“Common currency (mata wang bersama) ini memang jauh sedikit. Kalau EU (Kesatuan Eropah) pada masa itu terlalu panjang ke Euro, tapi saya tidak fikir ke arah itu (membuat common currency).
“Tapi yang paling kritikal apa? Ya kerja sama yang benar-benar erat, iaitu satu strategi bersama. Misalnya kelapa sawit, Indonesia sekitar 98 peratus, kedua Malaysia. Kalau ada kesepakatan itu,” katanya dalam Forum Kepimpinan CT Corp di Jakarta semalam.
Anwar menjawab soalan dikemukakan bekas Menteri Indonesia, Abdullah Mahmud Hendropriyono berkenaan perancangan mewujudkan mata wang bersama Malaysia-Indonesia dan tahap ketergantungan kedua-dua negara kepada Dolar AS.
BERGANTUNG
Namun Perdana Menteri bersetuju bahawa semua negara kini tidak boleh bergantung kepada mata wang AS semata-mata yang kini tidak berkembang sekali gus menyebabkan ada negara menerima tempias akibat situasi tersebut.
Justeru, kata beliau, salah satu pandangan tepat dengan menerapkan basket of currency atau menggunakan lebih daripada satu mata wang.
“Saya setuju, kita tidak boleh hanya bergantung pada Dolar. Dia mesti basket of currency. Ada sekitar 90-an Yen meningkat, sekarang Yuan meningkat. Jadi kalau kira mahu terus melepaskan Dolar itupun berisiko juga.
“Saya bukan pakar dalam hal ini, itu urusan orang bank. Tetapi bagi saya kita harus mengambil kira pandangan mereka dan sejauh mana dalam past of currency ini untuk kita gunakan Yuan, Yen, Dolar. Ini yang disebut past of currency dan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada Dolar,” jelasnya.
Anwar kemudian menegaskan hubungan dua hala dengan semua negara termasuk China perlu baik apatah lagi membabitkan Malaysia yang merupakan sebuah negara kecil.
Beliau menambah, Malaysia akan menyokong sebarang usaha Indonesia selaku Pengerusi ASEAN untuk memperkukuhkan rantau ini bukan sahaja dari segi hubungan ekonomi tetapi kerjasama serantau.- UTUSAN