KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan akan membekukan cuti anggotanya jika banjir kembali melanda negeri ini dalam tempoh terdekat susulan cuaca tidak menentu ketika ini.
Timbalan Pengarahnya, Anwar Abu Bakar berkata, situasi siap sedia itu perlu dilakukan sepanjang masa memandangkan tempoh Monson Timur Laut yang melanda negeri masih belum berakhir.
Menurutnya, pengalaman banjir luar biasa pada Disember lalu menjadi rujukan kepada JBPM untuk memantapkan lagi apsek berkait tugas menyelamat mangsa apabila ada kawasan tidak pernah berdepan musibah itu turut tenggelam.
“JBPM Kelantan sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi sebarang bencana terutama banjir.
“Bukan itu sahaja, kita turut mengadakan pemantauan berkala di kawasan tumpuan yang sering ditenggelami air,” katanya kepada pemberita selepas Program Kempen Keselamatan Kebakaran dan Op Rondaan Sempena Musim Perayaaan 2023 di Lembah Sireh, di sini hari ini.
Anwar memberitahu, aset seperti bot yang sebelum ini berjumlah 42 buah sudah bertambah kepada 50 bagi melancarkan lagi operasi menyelamat mangsa banjir.
Katanya, aset itu termasuk bantuan daripada JBPM Terengganu.
“Kita berharap penduduk di kawasan rendah dan sering ditenggelami banjir memberikan kerjasama dengan berpindah awal jika air mulai masuk ke kawasan rumah.
“Untuk makluman lebih 500 lokasi panas yang sering berlaku telah kita kenal pasti termasuklah di Rantau Panjang (Kampung Tersang dan Kampung Gual To’ Deh) dan Kampung Temila di Pasir Puteh,” ujarnya.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan dijangka berlaku di negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang bermula semalam hingga 21 Januari.-UTUSAN