TAMPIN: Bekas Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) Abd. Jalil Borhanuddin, 68, meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya di Ampang, Selangor, pagi tadi.
Anak sulung Allahyarham, yang juga merupakan Naib Presiden 2, KRM, Mohd. Fahmy Abd. Jalil, 39, berkata, pemergian bapanya disedari oleh adik ketiganya, Fatin Atiqa Abd. Jalil, 32, kira-kira pukul 6.30 pagi.
Menurutnya, sejak dua tahun lalu kesihatan bapanya kurang baik termasuk diserang demensia dua bulan lalu.
“Bapa banyak berkorban masa untuk sukan ragbi malah dia juga sentiasa bercerita mengenai ragbi dan berharap agar saya juga dapat membawa pasukan ragbi dengan baik hingga ke peringkat lebih tinggi lagi,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Taman Haji Borhanuddin, di sini hari ini.
Abd. Jalil berkhidmat sebagai Presiden KRM dari tahun 2002 hingga 2005 dan Presiden Kesatuan Ragbi Negeri Sembilan dari tahun 1992 – 2019.
Allahyarham meninggal isteri, Zainab Kassim, 65, serta lima orang anak dan tiga orang cucu. Jenazah dijangka dikebumikan selepas solat Asar di Tanah Perkuburan Tampin di sini.
Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Kesatuan Ragbi Negeri Sembilan, Ahmad Farid Abdul Rahman, 52, berkata, berita pemergian Abd. Jalil amat menyedihkan dirinya selain dianggap kehilangan besar buat sukan ragbi negara ini.
Menurutnya, Allahyarham merupakan individu yang banyak membantunya menyerlahkan potensi dalam sukan ragbi sejak belasan tahun sehingga dapat bermain di peringkat kebangsaan.
Bagi bekas pemain ragbi Negeri Sembilan, Hirman Ikhwan Jenal, 43, pula, jasa Allahyarham sangat besar terutama membawa kelab ragbi NS Wanderers menjadi pasukan yang digeruni.-UTUSAN.