Bapa reda, sempat penuhi permintaan Aliya Zahra - Utusan Malaysia

Bapa reda, sempat penuhi permintaan Aliya Zahra

KELUARGA remaja berusia 14 tahun yang meninggal dunia dihempap pokok besar sedang menunggu jenazah dikeluarkan untuk dibawa pulang, di hadapan Unit Forensik, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: “Tiada tanda pelik yang ditunjukkan tetapi sebelum kejadian arwah ada minta membawanya ke kedai kerana ingin membeli barang keperluan diri dan meminta saya bawanya makan pizza… kebetulan saya sempat tunaikan semua permintaannya”.

Demikian ujar, Mohamad Hasnizam Manan, 45, bapa kepada remaja perempuan, Aliya Zahra, 14, yang meninggal dunia akibat dihempap pokok besar dalam kejadian angin kencang di Kampung Balok Baru, kira-kira pukul 6 petang semalam.

Menurutnya, walaupun sedih dengan kejadian, namun dia tetap reda atas ketentuan tersebut malah bersyukur kerana dapat menunaikan permintaan anaknya sebelum kejadian malang itu.

Beliau berkata, ketika kejadian dia bersama isterinya, Maznah Abdul Ghani, 36, sedang melayan pelanggan di gerai burger milik mereka.

“Masa kejadian bila dengar pokok tumbang seperti ribut kuat, saya terus tengok dan sudah pastikan yang empat orang anak ada bersama… tidak menyangka ada perkara lain akan berlaku ketika itu.

“Tiba-tiba ada penduduk datang panggil kami dan memberitahu anak saya nombor tiga (Aliya) yang duduk di hujung jalan telah terlibat.

“Pokok yang tumbang itu terlalu besar dan tinggi jadi bila tumbang anak saya yang berada di Lorong 16 juga terkena,” katanya menceritakan detik-detik cemas itu.

MOHAMAD HASNIZAM MANAN

Mangsa merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik dan bersekolah di Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelabuhan di sini.

Mengulas lanjut, Mohamad Hasnizam berkata, ketika tiba di lokasi kejadian yang dianggarkan kira-kira 20 meter dari gerainya, anaknya dikeluarkan oleh penduduk setempat daripada rimbunan dahan-dahan yang patah.

Jelasnya, mangsa terkena pada bahagian hujung pokok dan keadaannya ketika itu tidak menunjukkan terdapat kecederaan serius tetapi hanya mengalami pendarahan di hidung.

“Adik-adiknya tidak tahu kakak mereka terlibat dalam kejadian itu…bila diberitahu mereka terkejut. Kami sempat membawa Aliya Zahra ke hospital selepas menerima pemeriksaan awal oleh pihak bomba dan anak saya disahkan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

“Saya reda dengan keadaan, memang kena reda memandangkan kejadian berlaku sebegini saya dengan segera mahu bawa pulang untuk disempurnakan jenazah,” katanya.

Sementara itu, tambahnya, arwah anaknya disifatkan sebagai seorang anak yang baik dan banyak membantu dalam urusan keluarga.

“Dia anak yang baik memandangkan kakak yang sulong walaupun anak yang ketiga…dia memang pandai jaga adik-adiknya dan menjadi harapan kami sekeluarga.

“Arwah juga seorang yang rajin mengaji… setiap hujung minggu tak pernah tinggal untuk pergi belajar mengaji dan saya harap adik-adiknya juga mengikuti jejak langkah kakaknya itu,” katanya.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Cerul Satu, Kemaman, Terengganu hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya