PETALING JAYA: Ibu bapa dalam kalangan B40 akan memanfaatkan bantuan awal persekolahan RM150 kepada setiap pelajar untuk perbelanjaan berkaitan persekolahan anak masing-masing.
Nur Amirah Aziz, 36, seorang suri rumah berkata, dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu dan harga barangan senaik naik, bantuan tersebut melegakannya untuk membuat persediaan buat dua anaknya.
“Saya ada dua anak di sekolah rendah, jadi dengan bantuan yang diberi boleh digunakan untuk membeli buku dan barang-barang keperluan lain serta baju serta kasut sekolah.
“Kami sekeluarga bersyukur dengan bantuan ini, harapan saya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus menjaga kebajikan rakyat secara berterusan,” katanya.
Kavitha Devi Jayaraj, 42, seorang pekerja swasta berkata, kerajaan melaksanakan inisiatif yang tepat dengan memberi bantuan kepada semua keluarga tanpa melihat had pendapatan ibu bapa.
“Ini kerana, walaupun gaji saya boleh dikira dalam had pendapatan stabil tetapi apabila tanggungan ramai, bantuan ini melegakan.
PERBELANJAAN
“Saya mempunyai tiga anak berumur 14, 12 dan 10. Perbelanjaan persekolahan semakin meningkat, tambahan dengan kos menghantar mereka ke tuisyen bagi subjek yang mereka lemah,” katanya.
Seorang lagi, Tamirah Abdullah berkata, dia tidak menyangka bantuan kali ini meliputi semua murid kerana sebelum ini anaknya yang belajar di darjah empat tidak menerima bantuan tersebut.
Katanya, dia bersyukur kerana bantuan tersebut sangat membantu melegakan persediaannya membeli peralatan sekolah yang mahal berbanding pendapatannya yang statik.
Abdul Mannan Abdul Mutaqim, 32, seorang jurugambar bebas berkata, beliau berterima kasih kepada kerajaan kerana membantu semua keluarga dengan bantuan ini dan banyak lagi bantuan-bantuan lain.
“Ramai keluarga masih dalam situasi susah selepas pandemik Covid-19, sudah pasti bantuan yang diberi akan membantu meringankan beban mereka dalam pelbagai aspek,” ujarnya.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan BAP kepada lima juta pelajar sekolah akan dikreditkan ke akaun sekolah pada 12 Januari sebelum sekolah-sekolah mengagihkan secara tunai kepada pelajar.- UTUSAN