RANTAU PANJANG: Penduduk di sini yang menjadi mangsa banjir pada Februari dan Disember tahun lalu mahu menyerahkan memorandum kepada kerajaan dan Sultan Kelantan bagi mengkaji semula Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok.
Wakil penduduk Zaril Yaakob berkata, memorandum itu susulan banjir luar biasa yang menyaksikan 60 buah kampung di kawasan Parlimen Rantau Panjang ditenggelami air sehingga mencecah bumbung rumah.
Menurutnya, pihaknya menjangkakan memorandum itu akan diserahkan sebelum hujung bulan ini.
“Kita akan kumpulkan semua maklumat seperti salinan kad pengenalan dan bukti-bukti berkait kesan banjir berkenaan untuk dilampirkan ke dalam memorandum tersebut.
“Selain banjir luar biasa penduduk di sini turut berdepan dengan banjir termenung yang panjang. Pada masa sama, banjir ini menyebabkan ada rumah milik penduduk hanya menunggu masa untuk roboh,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan himpunan aman banjir di Kampung Tersang di sini hari ini.
Hampir 500 penduduk dari beberapa buah kampung berhimpun secara aman meminta kerajaan mengkaji semula projek PLSB Sungai Golok.
Seorang penduduk Mohd. Nazan Hussin, 49, mendedahkan semasa banjir melanda Disember lalu dia kerugian RM70,000 apabila harta benda miliknya rosak termasuk 11 ekor lembu peliharaannya mati akibat musibah berkenaan.
Katanya, sepanjang tempoh itu juga dia dan keluar terpaksa berlindung di dalam siling selepas rumahnya ditenggelami air.
“Rumah saya yang dibina sudah tinggi pun ditenggelami banjir apatah lagi mereka di kawasan rendah. Semua masjid di sini ditenggelami air kecuali Masjid Gual Tinggi dan Masjid
“Begitu dahsyatnya kesan banjir akibat projek tebatan banjir. Jadi saya minta kepada pihak berkenaan supaya membina pintu air di kawasan projek berkenaan. Jika tidak masalah banjir tidak akan selesai,” ujarnya.
Sementara itu seorang lagi penduduk Yusnaniza Yusoff, 38, mengakui setiap kali hujan lebat melanda perasaannya akan bertukar menjadi takut memikirkan banjir luar biasa yang melanda rumahnya sebelum ini.
Katanya, dia berharap pihak kerajaan dapat turun padang dan melihat sendiri keperitan yang dialami penduduk.
“Saya minta kerajaan supaya memperbanyakkan pintu air di sepanjang projek PLSB bagi mengurangkan risiko banjir yang sering menghantui penduduk,” katanya.-UTUSAN