Banjir: Hentikan sementara aktiviti riadah di pantai - Utusan Malaysia

Banjir: Hentikan sementara aktiviti riadah di pantai

HUSSIN ZAMORA melakukan lawatan ke PPS di Kampung Perpat, Tanjung Sedili, Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Orang ramai termasuk pengusaha perkhemahan dan rekreasi di kawasan pantai dinasihatkan menghentikan sementara aktiviti itu sekiranya cuaca tidak mengizinkan ekoran Monsun Timur Laut dan keadaan banjir pada masa ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora mengakui pihaknya ada menerima laporan terdapat sekumpulan individu yang melakukan aktiviti perkhemahan terperangkap di Pantai Tanjung Lompat, Bandar Penawar, petang semalam.

“Semalam kami mendapat makluman kejadian itu lebih kurang pukul 4 petang. Ekoran keadaan hujan yang berterusan sejak semalam menyebabkan ada satu jalan itu telah dinaiki oleh air yang deras menyebabkan pengunjung rekreasi ini terperangkap. 

“Tetapi alhamdulillah dengan bantuan daripada pihak polis dan bomba dalam operasi menyelamat, kesemua mereka  berjaya dikeluarkan secara beransur-ansur melalui jalan alternatif. 

“Justeru, saya menyeru kepada semua pengusaha rekreasi supaya lebih bertanggungjawab dan berhati-hati dalam musim yang tidak menentu ini agar dapat memberikan kerjasama kepada orang ramai dan pihak polis. Maklumkan supaya perkara-perkara yang tidak diingini dapat dielakkan,” katanya selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Kampung Perpat, Tanjung Sedili hari ini.

Dalam kejadian itu, kira-kira 35 individu yang melakukan aktiviti perkhemahan terperangkap di Pantai Tanjung Lompat selepas kawasan itu dilanda banjir petang semalam.

Hussin berkata, setakat ini tiada lagi arahan penutupan dikeluarkan ke atas pengusaha rekreasi berkenaan, namun pihaknya akan menilai berdasarkan situasi semasa, iaitu arahan penutupan akan dikeluarkan menerusi pihak berkuasa tempatan sekiranya keadaan berbahaya.

Dalam perkembangan lain, Hussin memaklumkan sebanyak tujuh PPS telah dibuka di daerah ini yang menempatkan 139 keluarga melibatkan 585 orang akibat banjir yang berlaku sejak pukul 9 pagi semalam hingga kini. 

“Jalan-jalan yang terputus hubungan ke Kota Tinggi setakat ini belum ada lagi, kecuali tadi ada dua laluan kampung, iaitu Kampung Sungai Teluk dan Kampung Simpang yang jalan ke  kampung ini telah dinaiki air dengan kedalaman kira-kira satu meter dengan jarak 200 hingga 300 meter. 

“Situasi banjir pada kali ini di daerah Kota Tinggi dalam keadaan terkawal, bukan banjir besar dan hanyalah banjir kilat akibat fenomena air pasang bermula pada 22 hingga 28 Januari ini di samping hujan lebat berterusan sejak 72 jam lalu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya