MUAR: Setelah 74 tahun digunakan, Balai Polis Pagoh kini digantikan dengan bangunan baharu dan peralatan lebih moden.
Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Zaini Jass berkata, pembinaan balai baharu yang menelan kos RM10 juta itu adalah selaras dengan keperluan penduduk berikutan lokasi tersebut semakin pesat membangun.
“Di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), sebanyak RM10 juta telah diperuntukkan bagi pembinaan Balai Polis Pagoh dengan kelengkapan moden melibatkan kawasan seluas 8.26 ekar (3.3 hektar).
“Balai baharu ini dibina berdasarkan faktor keselamatan struktur bangunan asal yang tidak lagi sesuai dengan peredaran masa.
“Selain itu, taraf ketua balai di sini juga telah dinaik taraf dengan kekuatan seorang inspektor serta 15 anggota,” katanya pada Majlis Perasmian Balai Polis Pagoh, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor; Deputi Komisioner M. Kumar, dan Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz.
Menurut Zaini, penduduk di kawasan itu kini seramai 20,482 selain kewujudan hab universiti, sekali gus menjadikan Pagoh memerlukan kawalan keselamatan daripada pihak polis dengan lebih efisien.
Walau bagaimanapun, katanya, balai polis lama yang dibina pada tahun 1934 akan terus kekal dan dipelihara bagi menjadikannya sebagai memorial. – UTUSAN