Apungkan harga telur ayam - Utusan Malaysia

Apungkan harga telur ayam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Pengusaha ladang ayam penelur mendesak kerajaan memansuhkan skim kawalan harga sumber protein itu yang disifatkan sia-sia apabila Malaysia membawa masuk  bekalan dari India yang harganya lebih mahal.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, satu sumber industri berkata, ramai dalam kalangan pengusaha ladang ayam telur kini di ambang muflis dan masih bertahan hanya kerana bergantung kepada pembayaran subsidi kerajaan untuk menampung kos operasi mengeluarkan telur.

Kata sumber, kos untuk menghasilkan sebiji telur ayam di ladangnya kini mencecah 45 sen sebiji, dengan 70 hingga 80 peratus daripada kos itu membabitkan penghasilan makanan ayam.

Malah dedah beliau, kos tersebut tidak termasuk bayaran utiliti dan gaji kakitangan.

Justeru, kata sumber itu, kerajaan wajar mempertimbangkan polisi memansuhkan kawalan harga telur dan membiarkan sumber protein produk itu diapungkan, demi menjamin pengusaha telur ayam tempatan tidak `pupus’.

30 BIJI

“Apabila kerajaan bawa masuk telur import dari India, harganya 50 sen sebiji atau RM15 satu papan yang ada 30 biji. Jika kerajaan memansuhkan kawalan harga, di pihak pengusaha telur tempatan, harga jualan nanti lebih kurang itu juga iaitu kira-kira 50 sen sebiji.

“Bezanya, industri telur tempatan ini memberi banyak manfaat. Pertama, dari sudut kebersihan dan keselamatan telur ayam, ladang-ladang tempatan lebih senang diselia dan dipantau berbanding kerajaan mahu memantau pembekal dari luar negara.

“Kemudian, jika kerajaan membantu pengusaha telur tempatan, kami menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. Pada masa sama, kami juga membayar cukai malah membantu memelihara keselamatan makanan negara,” kata sumber itu ketika ditemui semalam.

Pada Disember tahun lalu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Uzir Mahidin berkata, berdasarkan Laporan Kajian Khas Kos Pengeluaran Ayam dan Telur 2022 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), didapati purata kos pengeluaran sebiji telur ayam mencatatkan RM0.48 pada bulan tersebut.

KEUNTUNGAN

Menurut Uzir, sekiranya mengambil kira lima peratus, 10 peratus dan 20 peratus keuntungan daripada kos pengeluaran telur ayam, harga telur ayam di ladang direkodkan berada di antara julat RM0.50 hingga RM0.58 sebiji.

“Margin keuntungan sebiji telur ayam di peringkat borong dan runcit pula masing-masing mencatatkan RM0.04 dan RM0.02,” kata Uzir lagi.

Untuk rekod, berkuat kuasa 12 Oktober 2022, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menetapkan harga maksimum telur ayam di semenanjung adalah 39 sen di peringkat ladang, 42 sen di peringkat pemborong dan 45 sen di peringkat runcit.

Mengulas perkara itu, sumber industri telur itu berkata, pihaknya kini mengalami kesukaran meneruskan operasi susulan kawalan harga tersebut malah katanya, keuntungan yang diperoleh cuma bergantung kepada pembayaran subsidi telur oleh kerajaan kepada pengusaha ladang.

“Bila kami menerima subsidi, itulah keuntungan kami. Kalau mahu mengharapkan hasil jualan telur, sebenarnya kami kerugian, memang tak untung langsung jual telur dengan skim kawalan harga sekarang.

“Malah, daripada penerimaan wang subsidi, cuma kurang 10 peratus saja yang boleh kami istilahkan sebagai keuntungan,” katanya.

HARGA

Desakan supaya dimansuhkan skim kawalan harga telur ayam, turut disokong pemilik perusahaan pembekal telur, MIR Pembekal Telur Ayam Kuala Lumpur, Ismail Abdullah, 42.

Menurut Ismail, langkah memansuhkan skim kawalan harga membantu penternak ayam telur menampung kenaikan kos operasi dan membolehkan mereka bertahan dalam ekosistem penternakan dan penghasilan telur yang serba mencabar ketika ini.

Namun,kata beliau, kerajaan harus peka dan memantau sebarang modus operandi dan konspirasi kartel-kartel dan pihak tertentu dalam industri telur, yang mungkin mahu mengambil kesempatan dengan menaikkan harga bekalan itu ke paras terlalu tinggi sehingga jadi tidak munasabah.

“Saya bersetuju jika dimansuhkan skim kawalan harga telur ayam. Ini supaya penternak boleh menampung kos operasi, sebab harga siling sekarang ini terlalu rendah sampai penternak kerugian.

“Namun, harus memastikan tiada ‘tangan-tangan ghaib’ sama ada di pihak kartel atau pihak ketiga, yang mungkin mengambil kesempatan mengeksploitasi bekalan. Maklumlah, bila tiada yang mengawal harga, takut nanti harganya mencanak sampai tidak masuk akal, nanti pengguna juga yang terkesan,” katanya.

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr. Ameer Ali Mydin juga bersetuju dengan cadangan memansuhkan harga kawalan telurayam.

Menurut beliau, langkah itu wajar dipertimbangkan supaya produk tersebut boleh distabilkan semula bekalannya.

“Apa keperluan kerajaan meletakkan kawalan harga telur, sedangkan bekalan telur tiada di pasaran?” soal Ameer.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya