KUALA KRAI: Seorang warga emas memohon orang ramai untuk membantu mengesan ibu kandung kepada Sufia Az-Zahra Ghazali, 10 tahun, yang kini berada dalam jagaannya selepas ibu angkat kepada kanak-kanak berkenaan meninggal dunia Oktober tahun lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia Esah Jenal, 71, berkata, kanak-kanak berkenaan mula dijaga oleh arwah anaknya Suziraazmawati Nor sejak berusia tiga hari sebaik sahaja selamat dilahirkan oleh ibu kandungnya yang merupakan warganegara Vietnam dan hanya dikenali sebagai Nguyen.
Menurutnya, selepas Suziraazmawati meninggal dunia tugas menjaga Sufia Az-Zahra terpaksa dipikulnya.
“Sejujurnya, kami tidak pernah mengenali ibu dan bapa kandung Sufia Az-Zahra kecuali arwah Suziraazmawati.
“Situasi itu menyebabkan kami berdepan kesukaran untuk menjejak ibu kepada kanak-kanak berkenaan yang dikenali sebagai Nguyen,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Esah memberitahu, dia sudah menganggap Sufia Az-Zahra sebagai cucu dan akan terus menjaga kanak-kanak berkenaan sehingga akhir hayat.
Katanya, bagaimanapun arwah Suziraazmawati hanya sempat mengusahakan sijil kelahiran bukan warganegara untuk Sufia Az-Zahara sebagai rujukan.
“Semasa proses akuan pengambilan anak angkat sedang disiapkan arwah anak saya yang ketika itu sedang berlawan dengan kesakitan telah meninggal dunia.
“Oleh itu saya harap siapa yang mengenali Nguyen dapat tampil untuk membantu memudahkan urusan berkaitan Sufia Az-Zahara bagi memastikan masa depannya lebih cerah,” ujarnya-UTUSAN