GUA MUSANG: Aliran trafik masuk ke negeri ini mulai sesak apabila anak-anak Kelantan di perantauan mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung masing-masing sempena cuti panjang sambutan Tahun Baharu Cina.
Tinjauan Utusan Malaysia di Jalan Gua Musang-Kuala Lipis dan Gua Musang-Kuala Krai mendapati pertambahan kenderaan masuk ke negeri ini dilihat mulai sesak sejak tengah malam tadi.
Bagaimanapun, aliran trafik masih berada dalam keadaan terkawal sekaligus menyaksikan kenderaan bergerak lancar ke destinasi masing-masing.
Seorang pekerja swasta, Nur Shazlin Amran, 40, berkata, dia mengambil cuti awal sehari untuk pulang ke Pasir Mas dan bertolak awal pagi sejurus selesai menunaikan solat Subuh bagi mengelak kesesakan lalu lintas.
“Saya bertolak dari rumah di Puchong, Selangor pada pukul 6.30 pagi tadi dan perjalanan masuk di bandar Raub, Pahang berdepan kesesakan.
“Saya mengambil peluang untuk menikmati tol percuma yang diumumkan kerajaan kerana menjangkakan petang ini akan semakin sesak dengan kenderaan,” katanya.
Lok Zhang Chang, 47, pula memberitahu, dia menggunakan jalan alternatif melalui Gua Musang-Jeli untuk pulang ke Tanah Merah bagi mengelak kesesakan lalu lintas.
Katanya, dia turut mengambil cuti awal hari ini bagi pulang ke kampung untuk acara makan besar bersama keluarga esok.
“Kami berhenti berehat di Hentian Gua Musang selepas berdepan kesesakan terutamanya di Lebuhraya Karak.
“Saya berharap anak Kelantan yang nak balik ke kampung berhati-hatilah dan rancang perjalanan sebaiknya,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Mohd. Arifuddin Akif Mohd. Noor menasihatkan pengguna untuk berhemah dan bersabar dalam pemanduan bagi mengelak berlaku kemalangan.
Katanya, pihaknya mengenal pasti satu lokasi panas kemalangan di daerah ini yang kerap berlaku kemalangan iaitu di Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Gua Sejuk.-UTUSAN