Agensi tunggal kawal sempadan di peringkat akhir

Agensi tunggal kawal sempadan di peringkat akhir

SAIFUDDIN Nasution Ismail melihat proses pemeriksaan mesin pengimbas Malaysia Clearance Automated System (MACS 2.0) di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRI: Perancangan kerajaan untuk menubuhkan hanya sebuah agensi tunggal bagi mengawal selia sempadan negara bagi menggantikan lebih 20 agensi yang menjalankan tugas sama ketika ini berada dalam peringkat akhir pelaksanaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perancangan tersebut telah dimulakan sejak 2018 de­ngan mengambil contoh agensi sempadan di beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Uni­ted Kingdom dan New Zealand.

“Kita tahu bahawa kawal selia sempadan biasa libatkan ba­nyak agensi. Kalau kita berhasil wujudkan single border agency (SBA), itu adalah arah tuju pa­ling tepat untuk kita laksanakan penambahbaikan terhadap pe­ngawalan sempadan negara.

“Kesemua 20 agensi kita satu­­kan tanpa kompromi terhadap elemen keselamatan, sebaliknya memanfaatkan teknologi dengan mengambil contoh amalan baik di beberapa negara antarabangsa,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Me­nangani Kesesakan di Tambak Johor di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini semalam.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata, kerajaan akan membenarkan sistem e-gate di CIQ Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) digunakan warganegara asing, khususnya Singapura bermula hari ini.

Namun, katanya, kemudahan pergerakan keluar masuk e-gate kepada warga Singapura dikenakan syarat-syarat minimum, ia­itu untuk warganegara Singapura yang memegang e-pasport dan tempoh sah laku pasport sekurang-kurangnya tiga bulan. 

Sementara itu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat dari beberapa negara berkaitan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing yang dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia.

Menurutnya, pertemuan dengan wakil tiga negara, iaitu Nepal, Bangladesh dan Indonesia akan diadakan dalam program empat hari, pada akhir bulan ini yang melibatkan beberapa sektor kritikal, antaranya perkilangan, pertanian, pembinaan dan perkhidmatan.

“Setelah kita memudahkan kemasukan pekerja asing, kejayaan terhadap anjakan polisi ini bergantung kepada negara sumber agar dapat bekalkan pekerja dalam sektor kritikal seperti perkilangan, pertanian, pembinaan dan perkhidmatan khususnya,” katanya.

Ditanya tentang insiden seorang kanak-kanak lelaki warga asing yang ditemukan selepas enam hari terperangkap dalam kontena di Pelabuhan Klang semalam, beliau berkata, kejadian itu tidak mengandungi sebarang unsur jenayah pemerdagangan manusia.

Menurutnya, kanak-kanak lelaki yang dikenali sebagai Fahim itu ditemukan dalam sebuah kontena yang dibawa kapal dari Bangladesh dan laporan polis telah dibuat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya