KUANTAN: Perancangan menjadikan Indera Mahkota sebagai Kota Ekonomi Digital akan diteruskan dalam tempoh terdekat kerana usaha itu antara agenda yang menjadi tawaran ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya komited melaksanakan perancangan tersebut kerana ia antara perkara terpenting untuk kepentingan rakyat.
“Saya fikir ini satu perkara yang kita di Malaysia, bukan saja di Indera Mahkota harus pelajari, kita ini selalu dan antara masalah kita ialah kita selalu berlaku ‘discontinuity’ apabila bertukar kerajaan, ada masanya bertukar menteri saja, dasar yang baik (untuk rakyat) tidak diteruskan.
“Pada saya, walaupun (sekarang) saya ahli parlimen biasa dan pembangkang, saya nak teruskan perkara ini dan ada cara meneruskannya.
“Saya fikir Indera Mahkota mempunyai potensi besar untuk menjadi Kota Ekonomi Digital memandangkan semuanya ada di sini,” katanya dalam sidang akhbar selepas program IMDialog di sini.
Saifuddin ketika kempen PRU15 lalu mengumumkan tiga fokus utama akan diberi perhatian.
Fokus pertama mencipta peluang ekonomi kepada penduduk, kedua mewujudkan jaringan pendidikan bagi memudahkan pemadanan antara sekolah, pusat pengajian tinggi dan pemain industri manakala ketiga iaitu menaik taraf kemudahan asas bagi mengatasi masalah banjir.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, perancangan terbabit boleh diteruskan tanpa bertemu Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Jelasnya, terdapat dua cara sama ada bertemu menteri bertanggungjawab atau agensi berkaitan.
“Macam agensi-agensi kerajaan, mereka harus diberi kebebasan untuk bekerjasama dengan siapa saja, sama ada kerajaan Pusat atau negeri.
“Kita harus bersikap terbuka daripada segi memastikan program-program pembangunan rakyat boleh berjalan tanpa diganggu elemen-elemen politik,” katanya. – UTUSAN