PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menahan 24 nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara menaiki empat bot dalam rondaan di 167 kilometer (km) hingga 196 km dari Kuala Tok Bali pada Khamis lalu.
Kesemua nelayan itu ditahan Kapal Maritim Jujur di sempadan perairan Malaysia-Vietnam menerusi Op Naga Barat, Op Kuda Laut dan Op Damai bermula pukul 6.25 petang hingga 10.24 malam.
Pengarah Maritim Malaysia negeri, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab. Rahman berkata, kesemua individu yang ditahan itu masing-masing berusia antara 14 hingga 64 tahun.
Menurut beliau, maritim berjaya menahan bot pertama pada pukul 6.52 petang sebelum mengesan tiga buah bot nelayan asing lagi selepas itu.
“Tiga lagi bot milik nelayan Vietnam itu berjaya ditahan antara pukul 9.52 malam hingga 10.24 malam pada hari sama. Kesemua bot tidak memberi kerjasama dan cuba melarikan diri ke sempadan perairan negara ketika kapal penguat kuasa memberi arahan untuk berhenti bagi pemeriksaan.
“Maritim terpaksa menggunakan teknik ‘force boarding’ untuk menumpaskan,” katanya semasa sidang akhbar di Pejabat Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali, di sini hari ini.
Syed Adli berkata, pemeriksaan lanjut mendapati bot terbabit belum sempat ‘merompak’ hasil laut negara.
Katanya, nilai rampasan empat buah bot, peralatan menangkap ikan dan sotong, peralatan navigasi dan komunikasi serta bekalan diesel 1,200 liter dianggarkan RM1.66 juta.
Kata beliau, empat tekong yang ditahan disyaki melanggar Seksyen 16(3) akta sama manakala 20 nelayan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika pemeriksaan dilakukan.- UTUSAN