KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 2.46 juta batang rokok seludup yang dipercayai untuk jualan selepas Tahun Baharu Cina apabila menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pulai, Gua Musang di sini semalam.
Rampasan berjumlah RM1.64 juta termasuk cukai itu dilakukan pada pukul 2.20 petang oleh sepasukan anggota dari Bahagian Penguatkuasaan Kota Bharu hasil maklumat dan intipan yang dilakukan selama dua minggu.
Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, rampasan itu merupakan kejayaan yang terbesar dicatatkan oleh JDKM Kelantan pada tahun ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati penyeludup menjadikan lokasi tersebut sebagai transit untuk menyimpan stok rokok sebelum diedarkan kepada pelanggan.
“Kita tidak menolak kemungkinan rokok-rokok seludup ini dibawa dipunggah menggunakan traler menerusi beberapa buah pelabuhan tempatan di negara ini.
“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih lagi sedang dijalankan,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat JDKM negeri di sini hari ini.
Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, stok rokok yang ini dipercayai untuk dipasaran selepas sambutan Tahun Baharu Cina kerana penyeludup dijangka akan memperolehi keuntungan berlipat ganda.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
“Sehubungan dengan itu JKDM Kelantan menggesa orang ramai membantu pihaknya memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah kenderaan dan lain-lain.
“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.-UTUSAN