IPOH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan senarai jemaah menteri yang menyertai barisan Kabinet di bawah pimpinannya, petang ini.
Anwar mengesahkan demikian ketika berucap pada program Kenduri Rakyat bersama Perdana Menteri Malaysia di Taman Jati di sini hari ini.
“Saya telah beberapa kali berbincang dengan Yang di-Pertuan Agong untuk pastikan barisan jemaah.
“Yang layak ratusan orang, yang terpaksa dipilih lebih terbatas. Tidak mahu terlalu ramai menteri, duta- duta khas bertaraf menteri kerana nak jimatkan wang dan dana supaya dapat pulangkan balik kepada rakyat.
“Sebab itu saya ambil keputusan dan akan umumkan barisan (Kabinet) lewat petang ini,” kata ketika berucap Pada program Kenduri Rakyat bersama Perdana Menteri Malaysia di Taman Jati di sini hari ini.
Anwar berkata, sepatutnya beliau tidak ada program pada petang ini untuk mengumumkan Kabinet.
“Tapi saya tak boleh ketepikan panggilan Tambun dan orang Perak,” katanya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Tambun itu menunaikan solat Jumaat bersama para jemaah di Masjid Muhammad Al-Fateh dekat sini.
Anwar pada pagi tadi tiba di Istana Negara, dipercayai untuk mempersembah senarai barisan Jemaah Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Kenderaan membawa Anwar dilihat memasuki pintu utama Istana Negara di sini kira-kira pukul 8.23 pagi. –UTUSAN