BATU GAJAH: Seorang wanita bertindak agresif apabila memandu kenderaan dalam keadaan berbahaya sehingga merempuh lima kereta polis ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan di Pekan Batu Gajah di sini semalam.
Tindakan wanita berusia 39 tahun yang memandu secara melulu itu mencetuskan panik apabila turut nyaris melanggar anggota polis yang mengejarnya.
Aksi kira-dua dua jam itu bagaimanapun berakhir apabila kereta jenis Toyota Innova dipandu wanita tersebut ditahan di Kilometer 29, Jalan Ipoh-Lumut arah Lumut pada pukul 5 pagi.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, wanita itu dilihat memandu dalam keadaan mencurigakan oleh anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah sebelum cuba menahannya sekitar pukul 2.50 pagi.
Bagaimanapun, menurut beliau, pemandu berkenaan enggan memberi kerjasama dengan memandu menghala ke Jalan Gopeng dan Jalan Ipoh-Kampar sebelum berhenti di laluan mati di Jalan Malim Nawar.
“Semasa sampai di jalan mati tersebut, wanita itu telah memandu sehingga merempuh kenderaan pasukan selain cuba melanggar seorang anggota polis yang berada di belakang keretanya.
“Tindakan agresif wanita itu menyebabkan anggota polis terpaksa melepaskan satu das tembakan pada tayar belakang bahagian kiri kereta Innova tersebut,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Bagaimanapun, menurut beliau, wanita tersebut meneruskan pemanduan sebelum kenderaan itu berhenti di Kilometer 29, Jalan Ipoh-Lumut dekat Seri Iskandar akibat kerosakan teruk pada enjin dan tayar.
Katanya, wanita itu kemudian ditangkap dan pemeriksaan pada kenderaan tersebut tidak menjumpai apa-apa barang yang salah.
“Wanita itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah untuk siasatan lanjut. Anggaran jarak perjalanan insiden sejauh 65 kilometer.
“Siasatan mendapati, suspek merupakan wanita warga tempatan dan menetap di Lumut. Dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah, malah ujian saringan air kencing juga negatif,” katanya.
Kata beliau, berdasarkan siasatan, wanita itu bertindak melarikan diri daripada pemeriksaan kerana takut dan marah akibat tekanan hidup.
“Lima kenderaan polis mengalami kerosakan akibat dilanggar kenderaan dipandu suspek. Suspek direman lima hari bermula semalam hingga Khamis ini untuk siasatan lanjut,” kata beliau. – UTUSAN